May 31, 2012

Tiga beradik kahwin serentak, lakar sejarah keluarga

Dari kiri: Imaran Affendi, Nurul Shahrizan, Mohd Zamidi, Mastura Norashikin, Siti Suzana dan Ahmad Zaki gembira ketika majlis perkahwinan mereka yang dilangsungkan serentak.

UMBAI – Tiga beradik di sini mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan serentak sebagai usaha menjimatkan kos perkahwinan.

Selain itu, perkahwinan serentak itu memudahkan saudara- mara berkumpul sempena cuti sekolah, sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila mereka sepakat bersanding serentak dengan pasangan masinng-masing.

Majlis resepsi diadakan di rumah ibu kepada tiga beradik berkenaan di Umbai, menyatukan Ahmad Zaki Bakri, 25, bersama pasangannya, Siti Suzana Muslihin, 24; Imaran Affandi Baki, 34, dan Nurul Shahrizan Shahabuddin, 30, serta Mastura Norashikin Baki, 27, dan Mohd Zamidi Muhtar, 27.

Ketiga-tiga pasangan pengantin itu diarak dengan penuh tradisi yang turut dihadiri lebih 2,000 tetamu terdiri dari saudara mara dan sahabat handai kesemua mempelai.

Ahmad Zaki berkata, idea bersanding serentak itu tercetus selepas mendapat pandangan daripada ahli keluarga yang bersetuju dengan cadangan melangsungkan perkahwinan serentak.

Menurutnya, cadangan itu turut menyebabkan majlis berkenaan mencatat sejarah yang sukar dilupakan buat mereka sekeluarga.

“Kita bersetuju mengadakan majlis ini serentak kerana dengan cara ini dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan.

Selain itu, ia memudahkan banyak pihak terutama saudara mara untuk datang,” katanya yang merupakan Pegawai Malim Ketiga Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

Sementara itu, ibu tiga beradik berkenaan, Mazitah Md Ris gembira kerana majlis yang dirancang berjalan lancar.

"Cadangan melangsungkan perkahwinan serentak turut dipersetujui keluarga pihak perempuan," katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment