May 31, 2012

Tembak pemilik rumah sebelum samun keluarga

Mangsa dibawa disahkan mati beberapa jam selepas menerima rawatan.

BANDAR BENTONG – Tindakan nekad seorang pesara meninjau keadaan luar rumah selepas mendengar bunyi mencurigakan akhirnya membawa padah apabila dia maut ditembak penyamun di Lot 3613 Kampung Kemansur, dekat sini.

Ketika kejadian, mangsa, Wong Kum Chuan, 63, bersama isteri dan dua anak mereka sedang berehat di bilik masing-masing kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Anak mangsa, Wong Kho Sean, 30, berkata, bapanya terdengar bunyi mencurigakan dari arah belakang lalu meninjau keadaan luar rumah berhampiran tempat letak kereta.

Menurutnya, pada awalnya dia menganggap tiada apa berlaku, namun tiba-tiba terdengar seperti ada pergelutan sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan dari luar rumah.

“Saya sempat melihat ayah dari arah belakang menerusi pintu terbuka dan dalam masa sama ternampak seorang lelaki memegang senjata seperti senapang.

“Ketika itu saya dapati ayah berlumuran darah kerana ditembak di bahagian perut kanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Diarah serah barang berharga

SELEPAS mendengar bunyi tembakan, isteri mangsa dan anak perempuan berusia 22 tahun bertindak mendiamkan diri di dalam bilik masing-masing.

Namun detik cemas tidak berakhir di situ apabila suspek yang menutup muka menggunakan kain dan berpakaian celoreng kemudiannya meluru masuk ke dalam rumah  lalu menghalakan senapang ke arah Kho Sean dan memintanya menyerahkan barang berharga.

Kho Sean berkata, dia diarahkan suspek masuk ke dalam bilik bapanya untuk mencari barang berharga sebagaimana diminta.

Menurutnya, dia sempat menyerahkan dompet dianggarkan mengandungi RM4,000 kepada suspek kerana bimbang diapa-apakan.

“Kemudian suspek meminta saya masuk ke dalam bilik tidur dan berdiam diri di situ. Kesempatan itu diambil suspek untuk melarikan diri. Selepas memastikan keadaan selamat, saya terus menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian,” katanya.

Mangsa meninggal di hospital

KETUA Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah malam di Hospital Bentong selepas beberapa jam menerima rawatan.

Menurutnya, mangsa, bersama isteri dan dua anak sedang berehat di bilik masing-masing sebelum dipercayai terdengar bunyi mencurigakan di luar rumah dan bertindak keluar melihat apa berlaku.

“Mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan memakai baju celoreng dan menutup keseluruhan bahagian muka.

“Berdasarkan siasatan, berlaku pergelutan sebelum suspek melepaskan satu das tembakan dipercayai menggunakan senapang patah,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menjalankan siasatan terperinci termasuk menggunakan khidmat pasukan forensik dan unit anjing pengesan K-9.“Kedudukan rumah mangsa yang agak jauh daripada rumah penduduk lain dan berhampiran dengan hutan dipercayai punca ia menjadi sasaran penyamun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis,”katanya.

Turut hadir ke tempat kejadian, Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bilut, Datuk Hoh Khai Mun.

Simpati nasib mangsa

SHARIFUDDIN berkata, polis bersimpati berikutan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, sebelum ini tiada kejadian mengancam nyawa atau jenayah berbahaya berlaku di kampung itu.

“Penduduk dinasihatkan tidak bimbang kerana polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment