May 15, 2012

Separuh tiada MyKad


MARUDI: Agensi kerajaan yang sering berurusan dengan masyarakat Penan perlu memperbaiki mutu perkhidmatan kepada masyarakat itu kerana terdapat beberapa insiden atau situasi yang menagihkan budi bicara kakitangan berkenaan.

Betapa tidak, walaupun ada agensi seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memasuki penempatan itu secara berkala, beberapa agensi lain dilihat jarang berbuat demikian.

Sebaliknya, masyarakat itu pula terpaksa keluar ke pejabat kerajaan sama ada di Marudi atau Miri dan ia sememangnya sukar bagi mereka kerana faktor masa dan kewangan.

Ketua Kampung Long Latei, Jangin Duwing, 52, berkata, hampir separuh daripada 300 penduduk di kawasan penempatannya masih mengalami masalah mendapatkan kad pengenalan.

Menurutnya, ada yang membabitkan satu keluarga menyebabkan dia hairan bagaimana masalah itu boleh berlaku.

“Setiap kali saya bertanyakan mengapa borang permohonan mereka ditolak, orang perintah (kakitangan kerajaan) itu tidak memberikan jawapan, jika dia memberikan jawapan dengan jelas saya bolehlah sediakan dokumen atau bukti apa yang perlu.

“Jawapan diberi mengecewakan kerana secara bergurau mereka memberitahu penolakan dokumen itu baik kerana mereka boleh masuk lagi ke kampung kami.

“Nampak seakan mereka tidak jujur kerana mungkin memperoleh elaun daripada perintah setiap kali datang ke kawasan pedalaman seperti ini,” katanya.

Dia memberi contoh seorang lelaki tua dikenali sebagai Met Yeat, 70, kini lumpuh dan belum memperoleh pengenalan diri walaupun sudah lama membuat permohonan.

“Semua orang tahu sekarang sudah dekat hari undi (pilihan raya), tetapi dia belum mendapat kad pengenalan sedangkan anak-anaknya sudah memilikinya,” katanya.

Berbeza dengan Essing Piling, 50-an yang terlantar di rumah kecilnya di Long Kawa akibat lumpuh, setahun lalu.

Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak diperoleh selepas hampir 10 kali anaknya berulang-alik ke bandar Marudi bagi membuat laporan.

“Selepas berkali-kali diminta ke sana dengan pelbagai penjelasan dan dokumen yang diminta, saya akhirnya berhenti meminta bantuan kerana banyak wang dihabiskan untuk ke sana,” kata anaknya, Jurina Ting, 28.

Menurutnya, kakitangan berkenaan tidak menyatakan secara terperinci apa diperlukan, sebaliknya meminta dokumen satu demi satu menyebabkan dia mula bosan sedangkan kos ke sana bukan murah.

“Mereka mungkin menganggap saya menipu, tetapi mengapa mereka sendiri tidak datang menjenguk ibu di sini, saya amat memerlukan bantuan itu kerana pendapatan keluarga sendiri pun tidak seberapa,” katanya.

Bagaimanapun, Essing bernasib baik kerana suaminya, Goh Libang, 60-an masih sihat dan mampu masuk ke hutan mencari makanan.

Ketika mengunjungi teratak buruk mereka, Essing masih mampu tersenyum ketika menyambut tetamu.

myMetro 15 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment