May 15, 2012

Azuriaty bukti kemampuan Penan


KUCHING: Siapa tidak bangga apabila satu-satunya masyarakat yang dianggap minoriti mendapat tempat dalam kerajaan? Inilah realiti dilalui pensyarah dari suku kaum Penan yang berjaya mendapat tempat sebagai pensyarah.

Azuriaty Atang mencipta nama sebagai pensyarah Penan pertama, sekali gus menolak andaian bahawa kaum berkenaan tidak mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Berusia 26 tahun dari Kampung Baru di Suai di Miri, anak sulung daripada empat beradik bercita-cita membantu komunitinya meningkatkan gaya hidup melalui pendidikan.

Dia yang bertugas sebagai pensyarah pengurusan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya mengagumkan masyarakat Penan lain yang sebelum ini dianggap kurang berpendidikan.

“Saya berazam mencapai impian membuktikan orang Penan juga mampu berjaya dalam pelbagai bidang termasuk akademik,” katanya.

Katanya, sejak bergelar pensyarah, dia mendapat kerjasama baik Unimas untuk mengadakan kajian mengenai pembabitkan komuniti Penan dalam perniagaan dan aktiviti pembelajaran, sekali gus merancang mengambil kampung Penan sebagai lokasi kajian.

“Kejayaan saya hasil motivasi ibu bapa yang begitu peka terhadap pembelajaran saya dan adik lain,” katanya.

Azuriaty mempunyai tiga adik iaitu Azmilhisyam, 22, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Afreeza, 16, dan Anastasia, 13, masing-masing bersekolah menengah.

myMetro 15 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment