May 30, 2012

Sangkaan ibu tunggal meleset

Anggota JPAM Hilir Perak bertungkus lumus membantu keluarga Salasiah membersihkan pokok kelapa sawit tumbang mengenai bahagian rumahnya.

BAGAN DATOH - "Pada mulanya saya hanya menyangka  dentuman kuat ini akibat pokok tumbang berhampiran rumah, namun tak sangka dapur saya yang ranap," kata Salasiah Hamzah, 54.

Salasiah berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin dia bersama ibunya, Amnah Osman, 80 dan cucunya, Mohd Lutfi Syakirin Nor Azhar, tujuh bulan berada di ruang tamu sedang menonton televisyen.

Menurutnya, secara tibatiba satu bunyi kuat datang dari arah belakang rumahnya mengejutkan mereka sekeluarga yang beranggapan pokok tumbang berhampiran kediaman.

“Terkejut dengan bunyi kuat itu, saya terus ke bahagian dapur bagi melihat sendiri apa yang terjadi dan tidak menyangka bahagian yang baru dibaik pulih kira-kira enam bulan lalu menjadi mangsa pokok tumbang.

“Saya terus menghubungi anak Rozaini Ridzuan, 28 dan menantu Nor Azhar Hanif, 28 yang ketika itu dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri di Negeri Sembilan bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Nipah Baroh, di sini, semalam.

Menurut Salasiah yang juga seorang ibu tunggal, menantunya, Nor Azhar, turut memaklumkan kejadian itu kepada ketua kampung dan juga pegawai khas kepada Adun Rungkup.

Katanya, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hilir Perak telah membantu keluarganya untuk membersihkan pokok sawit yang menghempap dapur rumahnya.

"Tak sangka pokok sawit berusia kira-kira 16 tahun ini yang berada 100 meter dari rumah jatuh menimpa bahagian dapur. Setakat ini kerugian dianggarkan RM10,000.

“Namun begitu, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku kepada keluarga,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment