May 30, 2012

Anak sara hidup keluarga

Norizan (kiri, belakang) melihat suaminya, Mat Rusuf menerima wang bantuan bulanan JKM pertama yang disampaikan Zukefli di rumah mereka di Kampung Kolam Temusu.

PASIR PUTEH - “Siapa yang minta untuk hidup begini tetapi saya redha dan terimanya dengan hati terbuka walaupun sering menangis di dalam hati,” luah seorang isteri, Norizan Muda, 43, yang menjaga suaminya lumpuh dan membesarkan empat anak.

Menurutnya, kebajikan suaminya, Mat Rusuf Abd Kadir, 47, adalah keutamaannya dan sanggup bersusah payah menjaganya.

 Dia berkata, sudah tujuh tahun suaminya tidak dapat bergerak akibat penyakit saraf yang menyebabkan saluran darah tersumbat sehingga keduadua belah kaki Mat Rusuf terpaksa dipotong.

“Sekarang ini, kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat kerana tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, lebih- lebih lagi perlu membayar sewa rumah berjumlah RM150 sebulan.

“Bukan itu sahaja, kos rawatan suami juga perlu disediakan, sedangkan saya tidak mampu bekerja kerana perlu uruskan dia di rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan daripada Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh, Zulkefli Ali ke rumahnya di sini, semalam.

Hadir sama ialah, Pengerusi JKKP Tanpa Mukim Dun Selising, Nik Mas Mahmod dan Penyelaras Peti Undi Wakaf Bunut, Nik Nab Nik Kob.

Menurutnya, disebabkan  kesempitan hidup, tiga anaknya sanggup bekerja daripada meneruskan pengajian kerana kasihankan ibu bapa mereka.

Norizan berkata, anak sulung dan keduanya yang berumur 25 dan 22 tahun bekerja kilang manakala yang ketiga berumur 20 tahun pula mengambil upah menjahit.

Katanya, ketiga-tiga merekalah yang menyara dia dan suami serta anak bongsu yang masih bersekolah dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol.

“Kadang-kadang saya kasihankan anak-anak bila melihat mereka sanggup mengetepikan keperluan sendiri untuk beri kami duit.

 “Saya berharap dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment