May 31, 2012

RM80,000 lesap


PETALING JAYA: Dua wanita hanya mampu menjerit selepas beberapa minit bergelut dengan dua lelaki dalam satu kejadian samun di pusat beli-belah terkenal di Mutiara Damansara, di sini.

Namun, tindakan mereka menjerit tidak berhasil apabila kedua-dua lelaki terbabit melarikan satu beg galas berisi wang tunai RM80,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamed berkata, dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, dua wanita terbabit yang bekerja di sebuah kedai di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan keluar dari kedai menuju ke lif untuk ke bank yang terletak di tingkat bawah.

“Namun, ketika menunggu lif jam 10.40 pagi, mereka didatangi dua lelaki yang menarik beg galas berisi RM80,000 itu.

“Berlaku pergelutan menyebabkan seorang suspek menolak mangsa yang memegang beg galas itu sehingga mangsa terjatuh. Seorang lagi rakan sekerjanya menjerit meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malangnya, ketika itu pusat beli-belah berkenaan baru mula beroperasi dan ramai peniaga belum memulakan perniagaan dan tiada individu menyedari insiden itu.

Menurutnya, seorang lagi suspek menolak mangsa yang menjerit itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Meor berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden itu. Polis menghantar rakaman berkenaan kepada Unit Forensik mengenal pasti imej penjenayah terbabit,” katanya.

Katanya, polis merakam keterangan mangsa dan memberitahu kedua-dua suspek tidak bersenjata dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, pihaknya merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes seorang pereka aplikasi telefon pintar yang melepaskan diri dalam kejadian samun dan cubaan culik di tempat letak kereta pusat beli-belah yang sama, Ahad lalu.

Beliau berkata, rakaman CCTV di tempat kejadian dihantar kepada Unit Forensik bagi mengenal pasti suspek dan mangsa berusia 20-an itu tampil membantu polis membuat lakaran suspek.

Harian Metro semalam melaporkan satu kenyataan di laman sosial, facebook yang dikeluarkan wanita berusia 20-an itu, dia menyatakan rasa bersyukur kerana melepaskan diri walaupun berdepan dua lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 5.30 petang itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Chin berkata, dia yang baru selesai membeli-belah seorang diri meletakkan barangan dibelinya dalam kereta milik teman lelakinya apabila tiba-tiba didatangi seorang lelaki meletakkan pisau di leher dan menutup mulutnya.

myMetro 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment