May 31, 2012

Operator pengeluaran maut, pemandu cedera kereta terbabas


IPOH - Seorang operator pengeluaran maut manakala suaminya cedera apabila kereta mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM 230, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Taiping pagi tadi.

Mashitah Ahmad Ridzuan, 29, dari Ipoh meninggal di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 6.30 pagi itu.  

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata mereka dalam perjalanan dari arah utara ke selatan apabila kereta yang dipandu suami mangsa Rodzi Harun, 30, dipercayai gagal dikawal.

Dalam satu lagi kejadian berasingan di Km 185.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Parit Buntar petang semalam, seorang penumpang terbunuh manakala tiga yang lain cedera apabila kereta mereka terbabas dan tercampak ke  dalam parit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata mangsa dikenali sebagai K. Dorasingam, 66, berasal dari Kamunting, Taiping.  

Beliau berkata kereta itu dipandu anak mangsa dan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengeluarkan mangsa dan mereka yang lain yang tersepit di dalam kereta itu. -- Bernama

31 Mei 2012


Majlis kesyukuran bertukar tahlil


TAIPING: Majlis kenduri arwah dan kesyukuran yang dirancang seorang pekerja kilang di rumah keluarganya malam tadi, bertukar menjadi majlis tahlil kematiannya selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 230.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Padang Rengas, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Masitah Ahmad Raduzan, 29, dari Taman Klebang Jaya, Chemor, dekat Ipoh maut selepas kereta dipandu seorang rakan lelakinya tidak dapat dikawal lalu melanggar tepi lori di laluan sama.

Kejadian itu menyebabkan Masitah maut di tempat kejadian, manakala rakan lelakinya yang belum diperoleh identitinya parah.

Ibu Masitah, Izan Yaakub, 52, berkata anaknya malam kelmarin memaklumkan akan pulang ke rumah, tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila kemalangan menimpanya.

“Ketika menghubungi saya, dia dengan riang maklumkan akan cuti tiga hari dan mahu pulang untuk menghadiri majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk arwah keluarga termasuk sepupunya yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.

“Ia juga majlis kesyukuran atas kejayaan adik bekerja di Tenaga Nasional Berhad dan memasuki pusat pengajian tinggi di Melaka, tetapi rupa-rupanya hanya jenazah arwah dibawa pulang,” katanya dengan nada sedih ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.

Izan berkata, beliau terkejut ketika menerima berita kejadian malang itu pada jam 7 pagi, tetapi reda dengan pemergian anak perempuan tunggalnya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang itu.

“Anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali menyatakan terlalu teringin untuk pulang bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pemandu kereta terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar.

Berita Harian 1 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment