May 31, 2012

Guna kod rahsia beli air ketum


SERI ISKANDAR - Taktik penggunaan kod ayat ‘air hijau’ untuk membeli air ketum akhirnya terbongkar apabila sepasukan polis dari cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berjaya menahan dua suspek dalam dua operasi berasingan, 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, operasi pertama yang dilakukan pada jam 8.40 pagi itu diketuai, Ketua Cawangan Narkotik IPD Perak Tengah, Inspektor Muhammad Aizat Ab Rahman berjaya merampas sebanyak 40 liter air ketum.

Menurutnya, operasi berkenaan bergerak berpandukan maklumat daripada orang awam dan pemantauan pihak polis.

“Serbuan pertama ini dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Badak, Sungai Ranggam dan didapati menjual air ketum.

“Air ketum disorok di belakang kedai yang mempunyai kebun kelapa sawit dan apabila pembeli menyatakan kod ayat berkenaan, pemilik kedai itu akan pergi ke belakang premis untuk mengambil air yang disimpan di situ,” katanya dalam satu sidang akhbar, semalam.

Mohamad Fakri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui empat botol air ketum berjumlah 40 liter di dalam tong berwarna jingga dan pemilik kedai berumur 43 tahun ditahan untuk siasatan.Bagi serbuan kedua pula, jelasnya, dilakukan di sebuah kedai runcit terletak di Kampung Sungai Buaya, Jejawi pada jam 9.20 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami ditemui 34 bungkus plastik dipercayai air ketum yang akan dijual kepada pelanggan di belakang kedai berkenaan.

"Apabila ada pelanggan yang meminta baru pemilik kedai tersebut akan mengambilnya di bahagian belakang kedai dengan harga RM2 sebungkus,” katanya.

Kata Mohamad Fakri, pemilik kedai berusia 33 tahun ditahan polis dan kedua-dua mereka dituduh di bawah seksyen 30 (3) akta racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak tidak lebih RM5000 atau Penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, katanya, jumlah rampasan air ketum bagi Januari hingga April 2012 dicatatkan sebanyak 41.33 liter dan daun ketum sebanyak 84,700 gram bagi lima kes.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam penjualan dan pembelian daun ketum ini kerana kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment