May 31, 2012

Lelaki hilang tapak kaki


KUALA TERENGGANU: “Saya hanya mampu meraung sambil menahan kesakitan, manakala rakan pula bertungkus-lumus membalut kaki untuk menghentikan pendarahan.

“Saya cuba mencari tapak kaki tapi malangnya ia hancur dipotong mesin itu,” kata Mohd Shaari Muda, 30, yang kehilangan tapak kaki kanannya akibat dipotong sebuah mesin pemotong kayu dalam kejadian di sebuah kilang papan di Kampung During Guling, Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa yang sudah 18 bulan bekerja di kilang berkenaan bertindak menggunakan kaki kanannya untuk menekan brek yang terletak di bahagian tepi mesin berkenaan.

Malangnya, tindakan itu membawa padah apabila kakinya tergelincir dan termasuk ke dalam putaran mesin menyebabkan tapak kaki kanannya hancur dipotong mesin berkenaan.

Mohd Shaari ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, berkata dia kehilangan banyak darah dalam kejadian itu dan terpaksa menggunakan kain pembalut luka untuk menghentikan pendarahan.

Menurutnya, selain kehilangan tapak kaki, tulang anak jari kaki kanannya retak akibat terkena mesin pemotong kayu itu.

“Ketika hendak keluar dari kilang untuk menjemput anak saudara pulang dari sekolah, saya menukar kasut dan memakai selipar sebelum ke tempat mesin pemotong kayu itu untuk menghentikan suisnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya tidak menekan brek itu dengan tangan sebaliknya menggunakan kaki kerana berpendapat tindakan itu lebih pantas.

“Saya tersentak apabila kaki kanan saya tergelincir ke dalam mata mesin pemotong kayu menyebabkan badan saya tersembam di atas lantai,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012


Tapak kaki hancur terkena mesin

Mohd Shaari (kiri) menceritakan kemalangan ngeri yang dialami ketika menerima kunjungan Rosnani (kanan)di Kampung Durian Guling, semalam.

MARANG - "Saya hanya mampu menjerit sambil menahan kesakitan, ada rakan lari kerana terkejut dan takut melihat darah, ada juga membantu membalut kaki yang cedera untuk menghentikan pendarahan.”

Demikian kata Mohd Shaari Muda, 30, ketika menceritakan detik mencemaskan setelah kaki kanannya terkena bilah mesin pemotong kayu di sebuah kilang kayu getah di During Guling, di sini.

Dalam kejadian itu, tapak kaki kanan anak bongsu daripada lima beradik hancur.

Dalam kejadian 29 Mei lalu, kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang sudah 18 bulan bekerja di kilang kayu getah berkenaan bertindak menggunakan kaki kanannya untuk menekan brek yang terletak di bahagian tepi mesin pemotong kayu berkenaan.

“Saya ketika itu ingin cepat menghabiskan kerja kerana perlu keluar untuk menjemput anak saudara pulang dari sekolah, saya menukar kasut yang dipakai dengan selipar sebelum ke tempat mesin pemotong kayu itu untuk menghentikan suisnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya segera menekan brek dengan menggunakan kaki kerana fikir ia lebih cepat namun kaki saya tergelincir lalu termasuk ke dalam mesin yang sedang berputar sebelum saya tersembam ke lantai,” katanya.

Dia menceritakan kejadian itu ketika menerima kunjungan isteri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad iaitu Toh Puan Rosnani Ngah ke rumah keluarga Mohd Shaari di Durian Guling di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Guling, Mat Ariffin Abdullah dan setiausahanya, Ramli Mohamad.

Ketika kunjungan, Shaari baru pulang ke rumah keluarganya selepas hampir dua minggu berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dia kehilangan banyak darah dalam kejadian itu dan terpaksa menggunakan kain untuk menghentikan pendarahan.

“Selain kehilangan tapak kaki, tulang anak jari kaki kanannya yang patah akibat terkena mesin pemotong kayu itu terpaksa disambung semula dengan menggunakan besi penyokong agar jari yang patah dapat dipulihkan,” katanya.

Sinar Harian 12 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment