May 13, 2012

Broker dibogel, kena cabul


Polis buru suami, isteri kurung mangsa 10 jam di kondo mewah

KUALA LUMPUR: Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang broker hartanah turut dikurung lebih 10 jam di sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara, di sini, petang Khamis lalu ketika mengendalikan urusan jual beli hartanah berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu dihubungi sepasang suami isteri dipercayai warga tempatan melalui laman web hartanah menyatakan minat untuk melihat dan membeli unit kondominium berkenaan sebelum mengadakan janji temu pada petang hari kejadian.

Bagaimanapun, sebaik tiba di unit kondominium itu, mangsa dipercayai dipukul kedua-dua suspek sebelum dibogel dan dicabul, seterusnya diikat dan dikurung dalam bilik di unit kondominium itu.

Mangsa hanya berjaya diselamatkan kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu oleh Polis Bantuan yang menjalankan rondaan rutin di kawasan kondominium selepas dimaklumkan penduduk yang terdengar tangisan dan jeritan wanita berkenaan meminta pertolongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika mengesahkan kejadian, berkata polis terpaksa memecahkan pintu unit kondominium itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dengan kedua-dua tangannya diikat, selain mengalami beberapa kecederaan dipercayai dipukul.

“Mangsa juga broker hartanah dari Kepong, dihubungi suspek atas alasan mahu melihat rekaan dalaman unit kondominium itu. Bagaimanapun, suspek bertindak agresif sebaik memasuki kondominium dengan memukul mangsa, seterusnya mencabul sebelum mengikat dan mengurung wanita itu.

“Hasil siasatan mendapati suspek turut menyamun barangan berharga milik mangsa, termasuk telefon bimbit dan beg duit, selain melarikan sebuah kereta jenis Toyota Vios milik wanita itu,” katanya.

Ku berkata, polis sedang menjalankan gerakan memburu kedua-dua suspek berdasarkan kesan cap jari, selain mengenal pasti identiti mereka melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium itu.

Berita Harian 12 Mei 2012


Pasangan kekasih kes samun, cabul ditahan

KUALA LUMPUR: Selepas 20 hari menjadi buruan polis, pasangan kekasih yang juga suspek kes samun dan cabul membabitkan seorang ejen hartanah di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, 10 Mei lalu berjaya ditahan di lokasi persembunyian mereka di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kedua-dua suspek diberkas jam 11 malam, kelmarin sebaik menerima maklumat orang ramai yang mengecam wajah mereka berdasarkan gambar disiarkan media sebelum ini.

Katanya, identiti dua suspek berusia 33 tahun itu berjaya dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian sebelum disebarkan kepada media.

“Hasil maklumat orang ramai yang mengecam wajah mereka, pasangan itu berjaya ditahan malam semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan.

“Kita mendapatkan perintah reman tujuh hari ke atas pasangan terbabit bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 akta sama, masing-masing atas kesalahan samun dan cabul,” katanya.

Dalam kejadian 10 Mei lalu, seorang ejen hartanah bukan hanya dicabul, malah turut disamun dan dikurung lebih 10 jam di sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara, di sini ketika mengendalikan urusan jual beli hartanah berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu, yang berasal dari Kepong, dihubungi sepasang suami isteri menyatakan minat untuk melihat unit kondominium berkenaan sebelum mengadakan temu janji. Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dibelasah sebelum dibogel dan dicabul, seterusnya diikat dan dikurung lebih 10 jam.

Mengulas lanjut, Chin Wah berkata, kes berkenaan yang pertama membabitkan modus operandi sedemikian, dengan suspek menyamar sebagai pembeli atau penyewa, selain menyasarkan ejen hartanah sebagai mangsa.

“Kita sedang menyiasat punca sebenar kejadian, namun tidak menolak ia bermotifkan samun. Ia berikutan mangsa kehilangan pelbagai barangan berharga, termasuk telefon bimbit dan beg duit.

“Malah, kereta miliknya jenis Toyota Vios turut dilarikan kedua-dua suspek. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan berkenaan,” katanya.

Berita Harian 1 Jun 2012


Suami isteri didakwa rompak, cabul ejen hartanah


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak dan mencabul seorang ejen hartanah, bulan lepas.

Wong Wai Kit, 33, dan How Sow Kim, 33, didakwa merompak wanita berusia 34 tahun itu di kediaman mangsa di Mont Kiara Palma, Brickfields pada 5 petang, 10 Mei lepas.

Dalam insiden itu, mangsa cedera dan kerugian RM70,000.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Wong turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul mangsa di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM25,000 terhadap Wong bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM20,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pasangan itu yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana mereka tidak bekerja dan perlu menyara dua anak berusia tujuh dan empat tahun serta ibu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudian membenarkan Wong diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM2,000 dan menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.

"Jaminan untuk How adalah munasabah memandangkan beliau mempunyai dua anak masih kecil yang memerlukan beliau manakala Wong sebagai suami, dikenakan jaminan tinggi.

"Oleh itu, peluang Wong untuk tidak hadir ke mahkamah adalah lebih tipis," katanya. - Bernama

29 Jun 2012




0 comments:

Post a Comment