May 12, 2012

Pekerja pengurup wang cedera ditembak penyamun


PETALING JAYA: Seorang pekerja pengurup wang nyaris maut selepas ditembak lelaki yang cuba menyamun premis berkenaan di SS2 Sea Park di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, berkata ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemilik premis itu sedang membuka pintu sebelum dua lelaki bertopi keledar penuh cuba memasuki premis berkenaan.

"Cubaan kedua-dua lelaki itu berjaya dihalang pemilik premis berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Ketika itu dua pekerja premis itu tiba dan membantu pemilik premis berkenaan sebelum seorang daripada lelaki itu melepaskan dua das tembakan ke arah pekerja terbabit dan terkena pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan insiden itu, katanya, kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di hadapan premis berkenaan.

Mangsa yang berumur lingkungan 20-an kemudian di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untk rawatan lanjut.

Arjunaidi berkata, polis masih mengenal pasti kedua-dua identiti lelaki terbabit berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang di pasang di hadapan premis terbabit.

Kes disiasat mengikut seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun. - BERNAMA

12 Mei 2012


Jalan sambil pegang pistol


PETALING JAYA: “Saya terdengar bunyi letupan kuat dan menjenguk ke luar tingkap untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak seorang lelaki yang memakai topi keledar berjalan sambil memegang pistol di tangannya,” kata saksi kejadian cubaan samun satu kedai pengurup wang di Jalan SS2/60 Sea Park, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang pekerja lelaki warga India berusia 32 tahun cedera di pinggang kiri akibat terkena tembakan ketika cuba menyelamatkan abangnya dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Cindy, 28, dan bekerja di premis berhampiran berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat atas kedai pengurup wang itu sebelum terdengar bunyi letupan.

“Saya terkejut melihat lelaki terbabit memegang pistol dan memikirkan mungkin berlaku rompakan sebelum cepat-cepat beralih dari tingkap itu kerana bimbang dilihat lelaki itu.

“Tidak lama kemudian saya dengar kekecohan lagi di tingkat bawah dan turun sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kejadian berlaku ketika seorang pekerja kedai pengurup wang sedang membuka pintu premis yang turut dikongsi dengan beberapa peniaga lain apabila tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal.

“Suspek pertama cuba memasuki premis itu tapi dihalang pekerja kedai pengurup wang berkenaan dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Ini menyebabkan suspek pertama melepaskan tembakan ke arah pekerja itu tapi tersasar dan mengenai peralatan dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan semakin genting suspek kedua pula muncul menyebabkan adik pekerja kedai pengurup wang itu cuba membantu abangnya.

“Lelaki itu yang juga bekerja kedai sama cuba menghalang suspek kedua mendekati abangnya. Malangnya, dia pula ditembak suspek kedua dan terkena di bahagian kiri pinggang.

“Panik melihat mangsa rebah dan berlumuran darah, kedua-dua suspek segera beredar dari tempat kejadian dan meninggalkan motosikal mereka di depan premis berkenaan,” katanya.

myMetro 13 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment