February 5, 2012

Wanita Singapura dakwa bayi dilarikan

WANCHAK menunjukkan gambar Muhammad Ashraf sambil diperhatikan Syed Othman di Pasir Gudang semalam. Gambar - Kosmo

JOHOR BAHRU 4 Feb. - Seorang wanita warga Singapura, Wanchak Ibrahim mendakwa dia dianiaya oleh seorang wanita setelah bayinya yang diserahkan untuk jagaan tidak dipulangkan sejak Mac lalu.

Wanita berusia 43 tahun itu mendakwa, dia menyerahkan bayinya, Muhammad Ashraf Abdullah ketika itu berusia 11 bulan kepada seorang wanita dikenali sebagai Zainon yang menetap di Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Pasir Gudang sejak 20 Mac lalu.

Menurut Wanchak, bayi itu terpaksa diserahkan kepada Zainon untuk dijaga kerana dia terpaksa berulang-alik bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura.

"Sewaktu menyerahkan anak saya, saya berjanji untuk membayar RM10 sehari sebagai upah dan ia dipersetujui oleh Zainon. Ketika itu, saya menetap di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dan selalu berulang-alik ke Singapura untuk bekerja," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pusat Aduan Rakyat Taman Mawar, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, selang beberapa hari kemudian, Wanchak menghubungi Zainon untuk melepaskan rindu dengan mendengar suara anaknya tetapi diberi pelbagai alasan menyebabkan dia yang berasa tidak sedap hati, bertindak datang ke rumah wanita itu keesokan hari.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di rumah Zainon, Wanchak mendakwa dia dihalau oleh wanita itu dan keluarganya.

"Saya berkeras untuk masuk ke dalam rumah Zainon tapi wanita itu mengugut untuk membuat laporan polis selain memberitahu anak saya telah diserahkan kepada keluarga lain.

"Sudah bermacam-macam usaha dilakukan termasuk membuat tiga laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam dekat sini tetapi semuanya menemui jalan buntu," jelas beliau yang mengenali Zainon menerusi seorang rakannya.

Wanchak mendakwa, Zainon sering memberikan alasan sekiranya beliau mahu mengambil semula anaknya itu.

Pada sidang akhbar tersebut, Zainon melalui perbualan telefon menggunakan pembesar suara mengaku telah menyerahkan Muhammad Ashraf kepada sepasang suami isteri yang didakwa saudara rapatnya dan menuntut sejumlah bayaran lebih RM2,000 daripada Wanchak sekiranya ingin anaknya dipulangkan.

Zainon turut mendakwa, bayi tersebut telah diserahkan selama sembilan bulan, pelbagai kos rawatan hospital telah ditanggung termasuk kos-kos lain seperti lampin pakai buang serta keperluan lain.

Wanita itu dalam perbualan telefon turut mengaku pernah dipanggil polis sebanyak dua kali berhubung laporan yang dibuat oleh ibu bayi berkenaan.

Selain itu, Zainon juga mengaku mempunyai lima anak angkat dan dalam proses mengambil empat lagi anak angkat.

Utusan
5 Feb 2012


Ibu bersyukur Ashraf kembali

PASIR GUDANG - “Rasa amat gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana kembali bertemu Ashraf selepas sejak setahun lalu terpisah,” demikian luahan hati seorang ibu, Wanchak Ibrahim, 43, selepas anak lelakinya, Muhammad Ashraf Abdullah, 2, kembali ke pangkuan, Rabu lalu.

Wanita warga Singapura itu berkata, pertemuan semula antaranya dan Ashraf merupakan hasil usaha dan bantuan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pusat Aduan Rakyat Zon Permas serta keluarga angkat yang menjaga anak lelakinya selama setahun.

Menurutnya, proses penyerahan semula anak lelakinya itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan satu kata sepakat antaranya dan pasangan suami isteri yang menjaga Ashraf dibuat atas dasar perikemanusiaan tercapai.

“Ashraf sihat ketika dipulangkan. Selepas setahun saya mencari dan menunggu, Ashraf akhirnya ditemui dan pulang ke pangkuan saya. Pada mulanya, Ashraf tidak mengenali saya, tetapi Alhamdulillah dia mahu kepada saya atas kuasa ALLAH. Saya kini lebih berhati-hati malah serik untuk memberikan penjagaan anak lelaki kepada orang lain atau mana-mana pengasuh kerana tidak mahu perkara sama berulang kembali. Kini saya menjaganya sepenuhnya masa dan ada melakukan perniagaan sendiri. Saya berharap masyarakat di luar juga akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku ke atas saya dan Ashraf sekali gus berhati-hati untuk menyerahkan anak untuk dijaga oleh pengasuh tertentu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, dekat sini, semalam.

Wanchak berkata, atas dasar perikemanusiaan terhadap pasangan suami isteri yang menjaga Ashraf sejak setahun lalu selepas diberikan oleh pengasuh dari Kampung Sentosa, Cahaya Baru, dia dengan rela hati memberi ruang kepada keluarga angkat terbabit untuk bertemu dan menjaga anak lelakinya dalam tempoh seketika.

“Pasangan suami isteri ini tidak mempunyai anak. Mungkin selepas setahun dia menjaga Ashraf umpama anak sendiri, mereka amat menyayanginya. Jadi, saya bersama pasangan ini ada membuat perjanjian lisan bagi membolehkan pasangan ini bertemu Ashraf. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis dan Pusat Aduan Rakyat. Selepas berita mengenai perpisahan saya dan Ashraf disiarkan, polis tidak henti-henti menjalankan siasatan seterusnya membantu mencari anak lelaki saya sehingga ditemui semula,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, penemuan kembali Ashraf bersama Wanchak merupakan kejayaan terbesar pihaknya dalam menangani masalah yang diadukan rakyat untuk tahun 2012.

“Selepas didedahkan kepada media, usaha pencarian Ashraf menjadi lebih mudah dan polis memberikan kerjasama dengan baik dan bersikap berada di tengah-tengah. Alhamdulillah, Rabu lalu, Wanchak kembali bertemu dengan anak lelakinya yang sudah terpisah sejak setahun lamanya,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini pada 5 Februari lepas melaporkan rasa luluh hati Wanchak apabila bayi lelakinya yang ditinggalkan untuk penjagaan sementara kepada seorang wanita dikenali sebagai Zainab (bukan nama sebenar) di Kampung Sentosa, disyaki diserahkan kepada keluarga angkat lain.

Sinar Harian
17 Mac 2012

0 comments:

Post a Comment