February 5, 2012

Konstabel polis mati dibunuh di bawah jejambat

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Misteri tiga hari kehilangan seorang anggota baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya terjawab apabila lelaki berpangkat konstabel itu ditemui mati dipercayai dibunuh di bawah jejambat bulatan Batu Caves dekat sini, malam ini.

Mangsa yang dikenali, V. Divendran, 25, dipercayai gagal dihubungi keluarganya sejak Rabu lalu.

Mangsa ditemui dengan kesan cedera di bahagian belakang kepala sedalam 6 inci. Barang mangsa seperti telefon bimbit dan rantai emas masih berada padanya. Walau bagaimanapun dompet mangsa tidak ditemui.

Si mati dipercayai keluar dari rumahnya di Selayang Height bersama tiga rakannya pada pukul 7.30 malam bagi melihat rumah kedai yang akan disewa untuk urusan perniagaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat anggota polis berkenaan.

Utusan
5 Feb 2012


Terkejut lihat mayat anak saudara

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Seorang pegawai polis tidak menyangka mayat ditunjukkan kepadanya oleh seorang lelaki di dalam sebuah longkang di bawah jejambat di Bulatan Batu Caves semalam, adalah anak saudaranya, juga anggota pasukan itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 1 Februari lalu.

Pegawai berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam itu yang hanya ingin dikenali sebagai Jaya berkata, beliau melalui jalan tersebut dengan menunggang motosikal pada pukul 7.15 petang sebelum ditahan seorang lelaki yang mendakwa menemui mayat lelaki.

Katanya, ketika itu beliau berpakaian preman dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

"Saya lalu berhenti di tepi jalan dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati terdapat mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap.

"Selepas menghubungi bilik gerakan, saya pun menunggu kehadiran mereka di sekitar kawasan itu tanpa mengenal pasti identiti mayat itu dengan lebih dekat.

"Namun, melihat saiz tubuhnya yang agak besar disebabkan kembung serta bengkak dan lebam, saya menyangka mayat itu berusia 30-an," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Tambahnya, sangkaannya meleset apabila anggota polis yang datang membuat pemeriksaan memaklumkan kemungkinan mangsa berusia 20-an.

"Apabila dimaklumkan tentang umur mangsa, saya pun menjenguk semula mayat itu sambil firasat saya mengatakan kemungkinan ia adalah anak saudara saya yang telah dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu.

"Saya pun menghubungi bapa mangsa bagi mengetahui pakaian anak saudara saya ketika kali terakhir ditemui. Saya terkejut apabila baju dan seluar mangsa benar-benar menyerupai pakaian mayat itu," ujarnya.

Selepas identiti mangsa itu disahkan oleh Unit Forensik yang membuat pemeriksaan, mayat kemudian dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

Semalam, mayat mangsa seorang anggota dari Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui mati dipercayai dibunuh di bawah jejambat Bulatan Batu Caves.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai V. Divendran itu telah bertugas selama tiga tahun sebagai konstabel.

Sementara itu, bapa mangsa, Veeramogan M. James, 55, ketika ditemui di HKL berkata, kehilangan anaknya tersebut disedari selepas telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Katanya, dia yang menghubungi pejabat mangsa namun terkejut apabila dimaklumkan mangsa yang berulang-alik menaiki bas dari Pudu tidak datang bekerja.

"Kali terakhir saya melihat mangsa pada Rabu lalu ketika dia memaklumkan hendak keluar bersama tiga rakannya pada pukul 7.30 petang.

"Mangsa hanya maklumkan hendak keluar sebab mahu melihat kedai yang ingin disewa untuk perniagaan gunting rambut sempena sambutan Thaipusam," katanya yang turut memaklumkan hari ini sepatutnya adalah hari merisik teman wanita mangsa sebelum bertunang pada Jun nanti.

Dia turut menyifatkan mangsa sebagai anak yang baik hati dan tidak bergaul dengan mana-mana individu jahat.

"Mangsa juga tidak pernah menceritakan tentang kerja yang dilakukan atau sebarang masalah yang dihadapi," ujarnya.

Utusan
6 Feb 2012


Konstabel Polis Dibunuh Dengan Objek Tumpul Dan Berat - Polis

KUALA LUMPUR: Konstabel polis yang mayatnya ditemui di bawah jambatan bulatan Batu Caves malam tadi telah dipukul di kepala dengan menggunakan objek tumpul dan berat, kata polis.

Hasil bedah siasat terhadap mayat V Divendran, 25, yang diperoleh polis tengah hari ini mendapati tiada kecederaan lain ditemui pada badan mangsa.

Divendran dipercayai telah mati lebih 48 jam sebelum mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di kepala, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan di sini, Ahad.

Beliau berkata polis bagaimanapun masih menyiasat sama ada anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di bawah jambatan itu atau sebaliknya.

Hanya barangan peribadi seperti kad pengenalan milik Divendran yang hilang, manakala gelang emas yang dipakai dan telefon bimbit tidak hilang, katanya.

Divendran yang tinggal bersama keluarganya di Selayang Heights, di sini dilapor hilang sejak tiga hari lepas sebelum mayatnya ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 7.30 malam tadi.

Bapa saudara Divendran yang hanya ingin dikenali sebagai Jaya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini, berkata beliau mengenalpasti mayat anak saudaranya itu berdasarkan kasut yang dipakai.

Jaya yang juga seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, berkata beliau dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas betugas.

"Selepas menghubungi bilik gerakan polis dan semasa menunggu siasatan Forensik di tempat kejadian, saya tergerak hati untuk melihat semula mayat itu.

"Pada mulanya saya ingat itu mayat seorang yang sudah berumur 30-an kerana saiz badannya yang sudah membengkak tapi selepas diberitahu rakan bahawa kasut yang dipakai mangsa adalah kasut orang muda saya terus tergerak hati untuk melihat mayat itu sebelum yakin itu adalah anak saudara saya," katanya

Bapa Divendran, M. Veeramogan, 55, berkata anaknya yang telah emapt tahun berkhidmat dalam pasukan polis dijangka mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya yang berasal dari Ampang Jun ini.

"Kami sepatutnya ke rumah bakal tunang Divendran hari ini untuk merisik tetapi hasrat itu tidak kesampaian," katanya sambil menegaskan anaknya seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh. - BERNAMA

6 Feb 2012


Inspektor tak cam mayat anak saudara

ANGGOTA polis memeriksa mayat Divendran yang ditemui mati di bawah jejambat di Bulatan Batu Caves, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kelmarin mungkin akan menjadi hari yang sukar dilupakan bagi seorang pegawai polis apabila mayat pemuda yang ditemui di dalam longkang di bawah jejambat Bulatan Batu Caves di sini merupakan mayat anak saudaranya.

V. Divendran, 25, yang merupakan seorang anggota polis berpangkat Konstabel dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan ditemui mati dalam longkang pada pukul 7.15 malam kelmarin. Dia disyaki dibunuh.

Mengimbas kejadian itu, pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dekat sini yang hanya mahu dikenali sebagai Jaya, 40-an, berkata, mayat anak saudaranya itu ditemui ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas di kuil Batu Caves menjelang sambutan Thaipusam pada Selasa ini.

Ketika itu, Jaya menunggang motosikal dan memakai baju preman dengan jaket keselamatan polis.

"Tiba di tempat kejadian, ada seorang lelaki memanggil sambil berlari ke arah saya dan memberitahu ada mayat lelaki dalam longkang berdekatan.

Kosmo
6 Feb 2012


Tak sempat risik bakal menantu

KUALA LUMPUR: “Tergamak mereka buat anak saya begini, sehingga saya tidak boleh kenal anak sendiri. Saya tidak akan maafkan mereka,” kata M Veeramogan, 55, yang sedih dengan kematian anak tunggal lelakinya.

Veeramogan adalah bapa kepada Konstabel V Divendran, 25, anggota polis dari Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban yang ditemui mati tertiarap di dalam sebuah longkang bawah jejambat, kira-kira 100 meter dari Bulatan Batu Caves, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa ditemui lengkap berpakaian namun tiada dokumen peribadi pada badannya, malah dipercayai sudah dicampak ke dalam longkang itu lebih daripada sehari berikutan keadaan mayatnya yang sudah membengkak.

Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di Selayang Heights, di sini, keluar rumah bersama tiga rakannya jam 7.30 malam Rabu lalu sebelum ditemui dengan kesan kecederaan di kepala.

Veeramogan yang juga orang kelainan upaya (OKU) kelihatan sugul di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam dan menyifatkan kejadian menimpa anak lelakinya itu sebagai kejam.

“Sepatutnya hari ini (semalam) kami sekeluarga dan Divendran pergi merisik teman wanitanya di rumah keluarga wanita terbabit di Ampang. Malah, mereka berpakat melangsungkan pertunangan Jun ini, namun Divendran ditemui mati malam tadi (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul dan berat.

Beliau berkata, mangsa anak kedua daripada tiga beradik itu sudah lebih tiga tahun berkhidmat sebagai polis dan sering berulang-alik ke tempat kerjanya menaiki bas di Pudu Sentral.

“Kali terakhir Divendran keluar dari rumah jam 7.30 malam, Rabu lalu. Dia memberitahu mahu ke Batu Caves untuk melihat tapak perniagaan bagi memotong rambut sempena Thaipusam namun selepas itu dia tidak pulang semula. “Keluarga cuba menghubunginya namun gagal. Saya memberitahu adik lelaki saya yang bekerja sebagai anggota polis di Shah Alam supaya mencari Divendran.

“Divendran memang sering tidak pulang ke rumah dua tiga hari kerana bekerja jauh dan saya tidak pernah mengganggu kerjanya. Namun, kali ini saya berasa hairan kerana dia gagal dihubungi. Kehilangannya terjawab sebaik adik saya menemui mayat Divendran,” katanya.

Adik Veeramogan yang mahu dikenali Jaya, 40-an mendakwa sedang bertugas di Batu Caves sempena sambutan Thaipusam dengan menunggang motosikal sebelum disapa seorang lelaki memaklumkan satu mayat lelaki lengkap berpakaian ditemui dalam longkang bawah jejambat.

“Saya segera ke tempat kejadian. Mayat mangsa dalam keadaan tertiarap menyebabkan saya tidak menyangka mayat itu anak saudara saya sendiri kerana keadaan badannya sudah membengkak.

“Saya segera menghubungi bilik gerakan polis. Melihat kasut yang dipakai mangsa, hati saya terdetik mungkin mangsa berkenaan Divendran. Saya menghubungi bapa mangsa yang mengesahkan pakaian dipakai mangsa,” katanya.

Tidak percaya itu mayat Divendran, keluarganya datang ke tempat kejadian dan terkejut melihat mayat berkenaan adalah Divendran menyebabkan mereka meraung kerana sukar menerima kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul dan berat.

myMetro
6 Feb 2012


Dendam mungkin punca dibunuh

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Polis tidak menolak kemungkinan kematian seorang anggota pasukan itu yang mayatnya ditemui dalam sebuah longkang di bawah jejambat Bulatan Batu Caves kelmarin bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ini kerana beberapa barang berharga milik mangsa seperti barang kemas dan telefon bimbit ada bersama anggota terbabit.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kes itu dan meneliti sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian atau di tempat lain.

Tambah beliau, pemeriksaan pihaknya di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa.

“Setakat ini kita masih lagi memburu individu yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis atau tampil ke balai-balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, mayat mangsa seorang anggota dari Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui mati dipercayai dibunuh di bawah jejambat Bulatan Batu Caves.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai V. Divendran telah bertugas selama tiga tahun sebagai konstabel.

Utusan
7 Feb 2012


Ahli sindiket curi kereta mewah bunuh polis diburu

KUALA LUMPUR: Polis kini mengesan seorang suspek yang juga ahli kumpulan curi kereta mewah dipercayai terbabit dalam kes bunuh Konstabel V Divendran, 25, anggota polis dari Bahagian Risikan (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban yang ditemui tertiarap dalam longkang di bawah jejambat, kira-kira 100 meter dari Bulatan Batu Caves pada 4 Februari lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata, lelaki yang berasal dari Rawang, Selangor itu sudah dikenal pasti dan polis dalam usaha memburunya bagi membantu siasatan, seterusnya merungkai kes pembunuhan itu.

myMetro
22 Feb 2012


Polis Buru Rakan Konstabel Polis Yang Dibunuh

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian seorang anggota polis berpangkat Konstabel, yang dipercayai dibunuh rakannya di Batu Caves, Gombak pada 4 Februari lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, turut diburu seorang lelaki dikenali sebagai Karunagaran a/l Asaithamby atau Karu, 27, beralamat diNo.6G, Jalan 10A, Selayang Baru, Batu Caves.

"Polis percaya kejadian itu bermotifkan dendam dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mendiang V.Divendran, 25, yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan, ditemui mati dengan kecederaan di kepala akibat dipukul objek tumpul di bawah jambatan MRR2 di bulatan Batu Caves dekat sini. - BERNAMA

29 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment