January 2, 2012

Dua beranak lemas di pantai

KUANTAN- Percutian satu keluarga ke pusat peranginan Pantai Sepat dekat sini sempena cuti Tahun Baru berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka (anak beranak) lemas dihanyutkan arus ketika bermain bola dalam air, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang pengurus sebuah tanah rancangan Felda di Temerloh, Zubir Othman, 57, bersama seorang anaknya, Ahmad Zuhaidi Zubir, 29, yang bertugas sebagai mekanik Produa berjaya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian.

Bagaimanapun Zubir disahkan meninggal dunia sebaik tiba di darat dipercayai akibat sesak nafas manakala mayat seorang lagi anaknya, , Ahmad Zuhaimi Zubir, 32, juru teknik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan yang turut tenggelam ditemui kira-kira jam 6.15 petang tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menantu mangsa, Norazimah Zakaria, 24, berkata, dia yang tinggal di Kampung Kurnia, Jalan Gambang di sini datang bersama suami, Ahmad Zuhaidi ke pantai peranginan itu untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain termasuk bapa mertuanya yang datang dari Jengka untuk bercuti.

Menurutnya, mereka tiba kira-kira jam 12 pagi manakala tragedi itu berlaku kira-kira jam 2 petang.

“Ketika itu ayah dan abang ipar sedang bermain bola di dalam air manakala kami semua berada di pantai.

“Tiba-tiba bola yang digunakan mereka dipercayai terlepas ke tengah jadi ayah dan abang ipar cuba untuk mengambilnya sebelum kedua-duanya tenggelam ditarik arus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Norazimah berkata, suaminya dipercayai cuba untuk menolong bagaimanapun dia juga turut lemas.

“Salah seorang kakak ipar saya, nampak kejadian itu lalu menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengunjung pantai datang untuk membantu menyelamatkan mereka bertiga.

“Ayah dan suami berjaya ditarik ke darat tetapi abang ipar terus tenggelam,” katanya yang bertugas sebagai pereka grafik di sini.

Isteri Ahmad Zuhaimi, Nor Najihah Zakari, 28, yang bertugas sebagai guru turut berada di tempat kejadian bagaimanapun dia yang terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya enggan ditemubual.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.40 petang sebelum 16 anggota dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang lemas.

Menurutnya, sebaik mereka tiba, dua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai bagaimanapun salah seorang disahkan meninggal dunia.

“Sebuah bot dan dua jet ski digunakan dalam operasi yang turut dibantu empat anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.

“Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa ditamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa terakhir, Ahmad Zuhaimi berjaya ditemu pasukan penyelamati,” katanya.

Sinar Harian
2 Jan 2012


Kasih bapa bawa ke mati

KUANTAN: Kasih seorang bapa kepada anaknya membawa kepada kematiannya ketika lelaki berusia 57 tahun itu cuba menyelamatkan anaknya berusia 32 tahun yang lemas dihanyutkan ombak besar ketika dia cuba mengambil bola melantun ke dalam laut di di Pantai Sepat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, walaupun Zubir Othman berjaya ditarik ke tepi pantai oleh orang ramai namun ajalnya sudah ditentukan berakhir di pesisir pantai berkenaan.

Zubir tinggal di di Bandar Jengka, Maran manakala Ahmad Zuhaimi adalah juruteknik komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Pekan. Sebelum kejadian, Zubir, Ahmad Zuhaimi serta adiknya, Ahmad Zuhaidi, 29, bermain bola di tepi pantai apabila bola disepak melantun ke laut dan Ahmad Zuhaimi berlari lalu terjun ke dalam laut untuk mengambil bola berkenaan.

Bagaimanapun dia gagal mengatasi ombak besar yang melanda membuatkan Zubir dan Ahmad Zuhaidi turun menyelamatkannya.

Zubir dan Ahmad Zuhaidi tidak berupaya menyelamatkan Ahmad Zuhaimi yang tenggelam sebaliknya kedua-dua mereka terkapai-kapai selepas ditarik ombak besar sekali gus membuatkan seluruh ahli keluarga mereka panik dan menjerit meminta bantuan.

“Melihatkan mereka (Zubir dan Ahmad Zuhaidi) terkapai-kapai di tengah laut, kami sekeluarga menjerit meminta pertolongan dan ayah (bapa mentua) berjaya dibawa ke pantai, namun dia meninggal dunia sejurus sediletakkan di atas pasir.

“Suami saya cuba menarik tangan ayah tetapi disebabkan ombak besar, dia gagal,” kata Norazimah Zakaria, 24, isteri kepada Ahmad Zuhaidi.

Mayat Ahmad Zuhaimi, yang dihanyutkan ombak deras itu ditemui terapung jam 6.20 petang, kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.

“Kami tiba di Pantai Sepat kira-kira jam 12 tengah hari. Kira-kira dua jam kemudian, ayah, abang ipar dan suami bermain bola di tepi pantai. Sejurus kemudian, saya nampak ketiga-tiga mereka dibawa ombak ke dalam laut.

“Hanya suami saya berjaya diselamatkan. Saya terkilan ayah dan abang ipar menemui ajal di situ,” katanya yang turut memaklumkan bahawa isteri Ahmad Zuhaimi, Nurnajihah Zakari, 28, sedang mengandung.

Isteri Ahmad Zuhaimi, Nurnajihah adalah guru bertugas di sekolah sama dengannya dan sedang mengandung dua bulan. Mereka mempunyai anak perempuan berusia dua tahun.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Kuantan, Mat Yusoff Hamat, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam.

Katanya, 16 anggota bersama sebuah bot dan jet ski digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu sambil dibantu empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Ketika kejadian keadaan ombak agak besar di pantai berkenaan yang menyebabkan sedikit sukar buat kami untuk mencari mangsa.

“Mangsa terakhir ditemui jam 6.20 petang,” katanya.

myMetro
2 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment