January 2, 2012

Abang, adik mati lemas

KOTA TINGGI: “Saya hampir berjaya mencapai Hazim dan Hasief tetapi kaki tiba-tiba kejang menyebabkan terpaksa berpatah balik dengan mengapungkan badan dan hanya mampu melihat dua anak saudara saya itu hilang ditelan ombak,” kata Md Nor Mamat, 19, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi kelmarin, Hazim Suhaimi, 20, serta abangnya Hasief, 25, lemas apabila dihanyutkan ombak besar ketika bermain di tepi Pantai Desaru, Bandar Penawar di sini dan Md Nor yang berada berhampiran cuba menyelamatkan dua beradik berkenaan, namun gagal. Dua beradik berkenaan dikatakan pergi berkelah di pantai itu dengan bapa mereka, Suhaimi Mamat, 52, selepas sekian lama tidak bersua.

Menurut Md Nor, kejadian berlaku ketika dia bersama dua beradik itu sedang bermain di tepi pantai apabila Hazim tiba-tiba dihanyutkan ombak besar manakala Hasief cuba membantu tetapi dia turut dihanyutkan ombak menyebabkan kedua-dua mereka dihanyutkan kira-kira 30 meter ke tengah laut.

“Selepas berpatah balik, beberapa pengunjung turut cuba membantu dengan berenang ke arah dua anak saudara tetapi gagal selepas kedua-duanya ditelan ombak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Md Nor sedih kerana gagal menyelamatkan dua beradik berkenaan tetapi reda dengan kejadian.

Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Mamat, 51, berkata, dia reda dengan ujian Ilahi itu.

“Saya baru saja melapor diri di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Jaya, Johor Bahru pada 26 Disember lalu. Sebelum ini saya bertugas di SK Tenggaroh 3, Mersing, selama setahun setengah.

“Hanya Hazief saya beritahu pertukaran itu empat hari lalu dan merahsiakannya daripada Hazim kerana mahu memberi kejutan kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Fauziah, dia tidak sangka dikejutkan pula dengan berita pemergian dua anak kesayangannya itu.

myMetro
2 Jan 2012


Kejutan gembira menjadi duka

KOTA TINGGI – Hasrat seorang ibu membuat kejutan mengenai pertukaran sekolah tempatnya mengajar berakhir dengan perkhabaran pilu selepas kedua-dua anaknya ditemui lemas dalam kejadian yang berlaku di Pantai Awam Desaru, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi, Hasief Suhaimi, 24, dan adiknya, Mohd Hazim Suhaimi, 20, sedang mandi di pantai berkenaan sebelum dibawa ombak besar.

Mayat Hasief ditemui pada jam 7 petang hari yang sama, manakala mayat adiknya pula ditemui pada jam 11 pagi semalam.

Fauziah Mamat, 51, berkata, beliau tidak sempat memberi khabar gembira itu kepada anak bongsunya, Mohd Hazim, 20, yang sebelum ini beria memintanya bertukar sekolah ke daerah ini.

“Hazim mahu sangat melihat saya bertukar sekolah berikutan tempat saya bertugas sebelum ini jauh, malah dengan doanya juga saya berjaya mendapat penukaran sekolah pada 26 Disember lalu.“

Semalam (kelmarin) adalah hari sepatutnya saya memberitahu kejutan itu kepada Hazim tentang berita gembira penukaran saya ke sekolah baru di Sekolah Kebangsaan Desa Jaya yang berhampiran dengan kediaman kami.

“Namun sebaliknya, saya pula yang dikejutkan dengan berita kejadian lemas yang menimpa mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Kota Tinggi, di sini semalam.

Fauziah yang sebelum ini merupakan guru besar di sebuah sekolah dekat Felda Tenggaroh 3, Mersing bagaimanapun reda dengan pemergian dua anaknya itu.

Sementara itu, bapa saudara sepupu mangsa, Mohamad Noor Mamat, 18, berkata, dia yang turut mandi bersama adik beradik itu sempat berpesan kepada Hazim supaya tidak mandi ke kawasan tengah laut berikutan keadaan ombak yang sangat kuat.

“Mereka begitu gembira bermain dengan air sambil bergurau senda sesama sendiri. Malah saya juga sempat menasihatkan Hazim supaua bermain di tepi sahaja kerana ombak kuat.

“Tetapi, Hazim yang ketika itu bergerak ke tengah tiba-tiba terkapai-kapai meminta tolong sebelum ditelan ombak. Abang mangsa yang cuba untuk menyelamatkan Hazim tetapi tidak berjaya.

“Saya juga cuba menolong mereka, namun tidak berdaya berikutan keadaan laut yang berombak kuat lalu segera memaklumkan kejadian tersebut kepada bapa mangsa,” katanya.

Bapa saudara mangsa pula, Zulbastri Karim, 43, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Hasief pada sambutan Aidiladha lalu, anak saudaranya itu kelihatan tidak seperti kebiasaannya.

“Saya tidak menyangka itu adalah petanda bahawa mereka berdua akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan dua beradik itu lemas dalam kejadian pada Sabtu lalu (31 Dis) di pantai awam Desaru.

Menurutnya, sebaik laporan diterima, pasukan penyelamat yang terdiri dari Cawangan Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bandar Penawar serta anggota Balai Polis Bandar Penawar telah melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Mahazan berkata, mayat Hasief ditemui di kawasan tempat kejadian pada jam 7 petang hari yang sama manakala mayat Hazim ditemui pada jam 11 pagi semalam, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Seorang pelancong tempatan yang bersiar di pantai ternampak mayat hanyut dan menariknya ke pantai sebelum memaklumkan kepada pihak keselamatan hotel yang berdekatan,” katanya.

Katanya, jenazah Hasief dituntut ahli keluarganya lewat malam yang hari yang sama, sementara jenazah adiknya dituntut petang semalam.

Sinar Harian
2 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment