January 18, 2012

Jumpa mayat suami ketika datang melawat

KULIM - Seorang suri rumah berusia 28 tahun menemui mayat suaminya yang telah berbau dalam sebuah bilik di sebuah rumah pangsa di Taman Jati di sini, ketika datang untuk melawat suaminya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt. Ghuzlan Salleh berkata, wanita itu menemui mayat suaminya G. Manivannan, 38, kira-kira pukul 4.50 petang dan kemudian memaklumkan kepada jiran yang memberitahu polis.

"Menurut isterinya, mangsa mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup mereka tetapi mangsa dikatakan seorang yang kuat minum arak menyebabkan mereka tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua mereka tinggal berasingan, isteri mangsa sering melawat dan membawa makanan kepada mangsa yang dikatakan seorang penganggur. - BERNAMA

18 Jan 2012


Mayat hampir reput ditemui

KULIM - Bau busuk yang mengganggu penduduk sebuah rumah pangsa di Taman Jati Blok C, di sini terjawab apabila pihak polis menemui mayat seorang lelaki hampir reput, di tingkat tiga kediaman berkenaan.

Anggota Unit MPV Balai Polis Kulim yang menerima panggilan daripada penduduk bagaimanapun terpaksa memecah pintu sebelum memasuki rumah berkenaan.

Dari siasatan yang dijalankan, mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan terduduk di atas kerusi ruang tamu dikenali sebagai Manivannam Ganiasamy, 33.

Mangsa sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak. Dia tinggal bersendirian kerana isterinya T Murugammah, 29, mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya di Block F di kawasan sama.

Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, isteri mangsa kecewa dengan sikap mangsa yang sering mabuk dan tidak mahu bekerja.

Menurutnya, rumah yang didiami mangsa sekarang ini milik isterinya tetapi dilelong bank kerana kegagalan mangsa membayar wang ansuran bulanan.

“Kali terakhir isteri mangsa menghantar makanan kepada mangsa pada empat hari lalu. Namun berlaku perselisihan faham.

“Bagaimanapun isteri mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa suaminya setelah dimaklumkan oleh jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa, “ katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim bedah siasat semalam dan punca kematian masih dalam siasatan.

Sinar Harian
19 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment