January 18, 2012

Polis Akhirnya Berkas Lelaki Disyaki Terlibat Kes Rogol & Bunuh 6 Tahun Lalu

Jurujual kereta dipercayai suspek dalam kes bunuh dan rogol dibawa polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, semalam. Utusan 19 Jan 2012

SUNGAI PETANI: Enam tahun sudah berlalu tetapi tanyalah setiap penduduk di Taman Ria Jaya di sini, apakah mereka masih ingat akan kejadian rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran berusia 25 tahun yang sedang berjoging di sini dan jawapan yang akan diterima ialah tidak ada siapa yang pernah melupakan insiden tersebut.

Dan begitu juga dengan polis. Penantian selama enam tahun akhirnya selesai apabila tertangkapnya seorang suspek berusia dalam lingkungan 30-an.

Lelaki tersebut telah meninggalkan tanah air sebaik sahaja mayat Chee Gaip Yap, 25, ditemui.

Suspek yang memegang status penduduk tetap Australia ditahan sebaik sahaja dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Selasa lalu.

Sebaik sahaja ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang suspek terus dibawa ke Mahkamah Majistrer Sungai Petani pada Rabu untuk diperolehi perintah reman.

Mahkamah telah mengarahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Adalah difahamkan, pasukan penyiasat telah menemui DNA suspek pada badan mangsa sebelum dia menghilangkan diri pada 2006.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, CID Asisten Komisioner Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, pihak polis tidak pernah menutup kes berkenaan sebaliknya mereka sentiasa mengemaskini kes tersebut setiap dua bulan.

“Malah kami bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di semua pintu masuk negara dalam usaha menjejaki lelaki ini.

"Pihak polis kini berharap dengan tertangkapnya suspek, kami telah berjaya menyelesaikan kes berusia enam tahun ini,” katanya.

Chee, yang keluar berjoging di Taman Ria Jaya dekat sini pada lebih kurang jam 6 petang 14 Januari 2006, telah ditemui mati pada jam 2.35 pagi keesokan harinya 200 meter dari kawasan perumahan itu.

Adalah dipercayai, graduan Universiti Utara Malaysia itu telah diekori oleh suspek sebelum dia dibawa lari, dirogol kemudian dibunuh dan mayatnya dicampak semula di kawasan berkenaan.

Sementara itu, bapa Chee, Chee Ah Sau, 56, ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya memberkas suspek dan berharap keadilan akan dapat ditegakkan atas nama mendiang anaknya.

mStar
18 Jan 2012


Bapa mahu kematian anak gadis mendapat pembelaan

SUNGAI PETANI 18 Jan. - Bapa kepada eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, yang dibunuh dan dirogol dengan kejam enam tahun lalu, Chee Ah Sau, berharap lelaki yang ditahan polis semalam dibawa ke muka pengadilan jika benar-benar merupakan suspek utama dalam kes berkenaan.

Ah Sau, 56, berkata, setiap kali mengenangkan kes tersebut terutama berdekatan sambutan Tahun Baru Cina, hatinya bagai disiat-siat.

"Bapa mana yang sanggup melihat anak yang dididik dengan penuh kasih sayang, mati dibunuh dan dirogol dengan kejam.

"Kalau boleh saya mahu melupakan perkara ini secepat mungkin dan berharap agar kes ini berjalan dengan lancar dan pembunuhnya mendapat hukuman setimpal dengan apa dia lakukan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Polis semalam menangkap seorang jurujual kereta berusia 31 tahun sejurus dia tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suspek yang merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' itu dikatakan melarikan diri dan gagal dijejaki pihak berkuasa sejak enam tahun lalu.

Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini.

Mangsa yang ketika itu berusia 25 tahun merupakan anak ketiga daripada enam beradik ditemui mati dibunuh selepas dirogol di kawasan Kelab Golf Cinta Sayang dekat Taman Ria Jaya, pada awal pagi 15 Januari 2006.

Menurut Ah Sau, kes itu berjalan selama enam tahun dan dia serta ahli keluarga tidak berputus asa untuk melihat orang yang melakukan perbuatan kejam itu dijatuhkan hukuman.

Tambahnya, sebelum ini, lebih 10 suspek ditahan polis dalam kes tersebut tetapi dilepaskan kerana kekurangan bukti.

"Saya tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan untuk anak saya dan saya mahu kematiannya terbela.

"Sebagai bapa, saya hanya mahu keadilan bagi anak saya yang dibunuh dan dirogol dengan kejam," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis terutamanya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sentiasa memberi perhatian kepada kes tersebut.

Utusan
19 Jan 2012


Anak 'Datuk' direman 7 hari

SUNGAI PETANI 18 Jan. - Seorang jurujual kereta yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis semalam.

Suspek yang berusia 31 tahun dan merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Suspek dibawa ke Kedah dan direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Januari 2006.

Perintah tahanan reman sehingga 23 Januari ini ke atas suspek dikeluarkan Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli, pukul 10.30 pagi ini.

Utusan Malaysia difahamkan, suspek pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf penduduk tetap di sana sejak itu.

Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini.

Mangsa yang merupakan siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.

Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaip Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

Beliau berkata, polis cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan diri ke negara kanggaru itu sejak tahun 2006.

"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut setiap dua bulan," katanya.

Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan rakan setugas di negara itu bagi mengawasi pergerakan suspek di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya menahan suspek di KLIA semalam selepas mendapat tahu dia memasuki negara ini melalui penerbangan dari Australia," katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk siasatan lanjut.

Utusan
19 Jan 2012


Anak Datuk dituduh bunuh gadis enam tahun lalu

SUNGAI PETANI 31 Jan. - Selepas enam tahun melarikan diri ke Australia, seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita, Chee Gaip Yap yang mayatnya dijumpai dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan elit Kelab Cinta Sayang di sini.

Shahril Jaafar, 31, yang merupakan anak seorang kenamaan bergelar Datuk dari Pengkalan Jaya Bukit Kecil, Ayer Keroh, Melaka itu didakwa membunuh Gaip Yap, 25, di kawasan kelab tersebut antara pukul 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi, keesokan harinya.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Raja Shahril Raja Baniamin.

Raja Shahril menetapkan sebutan semula kes itu pada 13 Mac ini sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Akhbar pada 19 Januari lalu melaporkan seorang ahli perniagaan yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis.

Lelaki tersebut yang merupakan anak seorang ahli perniagaan ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Januari lalu.

Difahamkan, Shahril pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian DNA.

Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf penduduk tetap di negara tersebut.

Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini.

Mangsa yang merupakan bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.

Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaip Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.

Utusan
1 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment