December 22, 2011

Kerani Bank Mati Ditikam 15 Kali


TEMPAT KEJADIAN...kawasan kediaman mangsa di Jalan Puncak Desa, Kepong. Gambar kecil, Mohd Yusak, reda. Gambar myMetro

KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank maut selepas ditemui berlumuran darah dengan 15 tikaman di bahagian belakang badan di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata, Rozana Mohd Yusak, 35, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam kejadian pukul 1.30 pagi tadi.

Sebelum itu, Rozana dilihat oleh seorang pekerja restoran di kawasan berhampiran seakan-akan meminta pertolongan di tingkap rumahnya, katanya.

"Pekerja restoran tersebut terus menghubungi polis sebelum pasukan polis tiba ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa yang berlumuran darah. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditikam selain terdapat banyak kecederaan lain di hadapan badannya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini Rabu.

Katanya, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah itu ditemui berseluar pendek dan singlet serta tiada pengenalan diri, telefon bimbit dan senjata ditemui.

Rosly berkata ketika polis tiba, rumah tersebut dalam keadaan berselerak serta terdapat kesan pergelutan.

Katanya polis masih menyiasat motif kejadian selain tidak menolak kemungkinan terdapat unsur cemburu.

"Motif cemburu mungkin boleh dikaitkan dengan kematian mangsa berdasarkan kesan tikaman yang banyak dan ia seperti dilakukan oleh seseorang yang memang berdendam dengan wanita itu," katanya.

Beliau berkata polis sedang menjejaki teman lelaki wanita itu untuk membantu siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat dan polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh."

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Yusak Suparman, 64, ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat HKL berkata beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi apabila dimaklumkan anak saudaranya.

"Pakcik tinggal di Ijok, Kuala Selangor...Selepas diberitahu anak saudara pakcik tentang Rozana, terus pakcik ke sini (HKL)," katanya.

Beliau yang merupakan seorang pesara berkata, kali terakhir berjumpa Rozana kira-kira seminggu yang lepas.

"Dia (Rozana) seorang yang peramah, dan pakcik tak sangka kejadian ini boleh berlaku kepadanya," katanya yang juga berkata isterinya Jamaliah Abdul Samad pengsan selepas mendengar berita kematian anak sulung daripada tiga beradik itu.

Katanya Rozana yang bekerja di bank berkenaan lebih 10 tahun sebelum ini pernah memintanya membelikan sebuah komputer riba, namun hajat itu tidak dapat ditunaikan. - BERNAMA

21 Dis 2011


Rakan lelaki Rozana jadi buruan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang rakan lelaki, arwah Rozana Mohd. Yusak, 35, bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhannya selepas ditikam bertubi-tubi di sebuah rumah kedai di Desa Kepong di sini kelmarin.

Lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu dicari selepas polis menemui satu dokumen di rumah Rozana.

Malah, ada maklumat mengatakan, sebelum tragedi mangsa didakwa bergaduh dengan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, belum ada tangkapan dibuat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya dalam proses merakam keterangan daripada jiran dan ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

“Mangsa menyewa di rumah itu tetapi jarang ada di rumah,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.

Selain itu, menurut beliau, polis juga menyiasat motif pembunuhan Rozana tetapi menolak ia berkaitan kes samun.

Akhbar semalam melaporkan, seorang wanita yang ditikam lebih 15 kali sempat menjerit meminta tolong melalui tingkap rumahnya sebelum dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

Semasa kejadian pada pukul 1.55 pagi di tingkat satu rumah kedai itu, Rozana mati ditikam di belakang badan, paha dan siku kiri.

Penyerang yang disyaki dikenali Rozana melarikan diri bersama beberapa dokumen penting termasuk MyKad mangsa. Polis tidak menemui senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

Laporan bedah siasat pihak hospital semalam mendapati mangsa mati akibat mempunyai 15 kesan tikaman di belakang badan, dua tikaman di paha kiri dan tiga tikaman di siku kiri.

Kosmo
23 Dis 2011


Tiga direman kes bunuh Rozana

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Misteri pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditikam sebanyak 15 kali di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jaya, Kepong dekat sini minggu lalu, terungkai apabila polis menahan tiga lelaki petang semalam.

Dua daripada suspek masing-masing berusia 19 tahun ditahan di sekitar Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek yang berusia 22 tahun ditahan di Kampung Datuk Keramat.

Polis hari ini mendapat perintah untuk menahan reman ketiga-tiga suspek selama seminggu bagi membantu siasatan pembunuhan kejam itu, di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Semua suspek dibawa ke mahkamah pukul 10.30 pagi ini untuk ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, polis menemui pisau panjang buatan sendiri dan pisau dapur daripada suspek, dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, selain sebuah komputer riba milik mangsa daripada suspek berusia 22 tahun.

Rozana, 35, ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong pada 21 Disember lalu.

Sementara itu, sumber memberitahu penahanan dua suspek belasan tahun itu, salah seorangnya teman rapat mangsa membawa kepada cerita sebenar di sebalik pembunuhan kejam wanita itu.

Dipercayai, pembunuhan itu bermotifkan samun apabila ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi milik mangsa.

Ketiga kejadian, dua daripada suspek termasuk teman rapat mangsa naik ke rumah kedai tersebut manakala seorang rakannya berusia 19 tahun menunggu di bawah.

"Dipercayai, teman rapat mangsa ingin mengambil wang dan komputer riba milik mangsa untuk dijual kepada lelaki yang berusia 22 tahun.

"Mereka berdua memasuki rumah itu secara senyap-senyap dan bercadang mengambil komputer riba berkenaan ketika mangsa sedang tidur," katanya.

Bagaimanapun, difahamkan, mangsa menyedari kehadiran suspek dan bertindak menghalang perbuatan kedua-dua mereka.

"Berlaku pergaduhan antara mangsa dengan suspek sehingga menjadikan keadaan bertambah tegang. Dalam keadaan kelam kabut itu, mangsa ditikam bertubi-tubi sebelum dia ditemui orang awam dalam keadaan nyawa-nyawa ikan," jelas sumber berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini, enggan mengulas mengenai penangkapan ketiga-tiga suspek sebaliknya memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan esok.

Utusan
31 Dis 2011


Rozana mati angkara samun

TIGA lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Rozana berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Selayang, Gombak semalam.

KUALA LUMPUR – Kes pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditemui mati dengan 15 tikaman minggu lalu memasuki episod baharu apabila polis dapat menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan kes yang bermotifkan samun itu.

Suspek-suspek berusia di antara 19 dan 22 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek diberkas di Kampung Dato’ Keramat.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi mangsa pada hari kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu hanya dua daripada suspek naik ke rumah mangsa manakala seorang lagi menunggu di bawah.

“Maklumat yang kita dapat mengatakan salah seorang suspek berumur 19 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa bercadang mencuri wang serta komputer riba mangsa untuk dijual kepada rakannya yang berusia 22 tahun. Jenayah itu hendak dilakukan ketika mangsa sedang tidur.

“Bagaimanapun, mangsa yang tersedar cuba menghalang perbuatan teman lelakinya sebelum berlaku pergaduhan. Keadaan kemudian menjadi tegang menyebabkan salah seorang suspek menikam mangsa bertubi-tubi dengan pisau,” katanya.

Kosmo
31 Dis 2011


2 lagi ditahan kes bunuh Rozana

SHAH ALAM 31 Dis. - Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditikam sebanyak 15 kali di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jaya, Kepong minggu lalu sekali gus menjadikan jumlah tangkapan meningkat kepada lima orang.

Salah seorang suspek yang berusia 20 tahun ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur manakala seorang lagi suspek berusia 23 tahun ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Gombak, pukul 4 pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dengan penangkapan kelima-lima lelaki tersebut, polis percaya kes pembunuhan kejam wanita berusia 35 tahun itu telah selesai.

"Polis turut menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa ketika menahan suspek berusia 20 tahun di Bukit Bintang. Kedua-dua suspek termasuk yang menyerah diri kepada pihak polis didapati positif mengambil dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, timbalan beliau, Datuk A. Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.

Akhbar hari ini melaporkan, polis menahan tiga lelaki, dua daripadanya berusia 19 tahun bagi membantu siasatan pembunuhan itu kelmarin.

Dua suspek berusia 19 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Pantai manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan di Kampung Datuk Keramat.

Tun Hisan dalam pada itu berkata, dalam tangkapan pertama di Lembah Pantai, polis menemui beberapa bahan bukti antaranya telefon bimbit, kad ATM, beg tangan jenama Bonia, kasut dan sebuah motosikal milik si mati," katanya.

Tambah beliau, barang bukti lain yang ditemui adalah seluar, baju, tuala yang terdapat kesan darah. Topi keledar milik mangsa pula ditemui di rumah flat Kampung Datuk Keramat selain kad kredit tertera nama Rozana.

"Sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan ini turut dirampas dari salah seorang suspek, namun polis percaya, lebih daripada satu senjata digunakan," jelasnya.

Kelima-lima suspek, kata Tun Hisan dipercayai mengenali antara satu sama lain dan hasil siasatan awal pihaknya mendapati, mereka tiada rekod jenayah lampau.

Selepas sidang akhbar itu, Tun Hisan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua pegawai penyiasat kes tersebut iaitu Asisten Supritendan Mohd. Fadhli Minhat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Asisten Supritendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Utusan
1 Jan 2012


Teman lelaki dan rakan didakwa bunuh Rozana

MUHAMMAD Faizul Mohd. Ali (kiri) dan Muhammad Zal Haziq Razali dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang, Gombak, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Teman lelaki kepada seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang mati ditikam sebanyak 15 kali di rumahnya pada Disember tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh wanita itu.

Selain Muhammad Faizul Mohd. Ali, 27, yang berbeza umur sembilan tahun dengan Rozana, 36, turut didakwa adalah rakan lelaki itu, Muhammad Zal Haziq Razali, 24.

Kedua-dua tertuduh terbabit didakwa dengan niat bersama membunuh Rozana di sebuah rumah kedai yang beralamat di B-01-15F, Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini antara pukul 12 tengah malam dan 1.15 pagi, 21 Disember 2011.

Difahamkan wanita terbabit mati setelah mengalami kecederaan parah akibat dua tikaman pada paha kiri, tiga di siku kiri dan sembilan di belakang badan dengan menggunakan dua bilah pisau.

Tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah memandangkan pertuduhan membunuh itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Mereka kelihatan tenang sepanjang prosiding dan hanya menganggukkan kepala sebagai tanda memahami pertuduhan tersebut.

Majistret Mohd. Isa Md. Nor kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari ini sementara menunggu laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah, manakala Muhammad Faizul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Muhammad Zal Haziq seorang penganggur masing-masing tidak diwakili peguam bela.

Mengikut laporan Utusan Malaysia pada 22 Disember 2011, Rozana ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan berpakaian seluar pendek dan singlet di ruang tamu kediamannya akibat ditikam sebanyak 15 kali.

Sebelum itu, kerani bank tersebut yang sedang nazak, sempat menggagahkan diri untuk bangun ke tingkap hadapan rumahnya bagi menjerit meminta pertolongan, kemudian disedari oleh salah seorang jirannya.

Anak sulung daripada tiga beradik terbabit bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Menurut laporan akhbar lagi, beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan mangsa telah hilang ketika hari kejadian.

Utusan
11 Jan 2012


2 comments:

  1. SHAH ALAM 17 Ogos – Dua rakan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita dengan menikamnya sebanyak 78 kali pada Disember 2011.

    Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Faizul Mohd. Ali, 24, dan Mohd. Zulhaziq Razali, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.

    “Apabila dipertimbang secara keseluruhan, pembelaan (orang kena tuduh) OKT1 (Muhammad Faizul) tidak boleh dipakai dan didapati bersalah serta disabit kesalahan.

    “Pembelaan OKT2 (Mohd Zulhaziq) juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan dan dia dibuktikan mengambil peranan dalam pembunuhan itu. Maka, OKT2 didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan,” katanya.

    Selepas hukuman dijatuhkan, Muhammad Faizul dan Mohd. Zulhaziq hanya tersenyum hambar dan anggota keluarga mereka yang hadir di mahkamah kelihatan muram dengan keputusan terbabit.
    Rozana Mohd. Yusak

    Kedua-dua lelaki itu dituduh bersama-sama membunuh Rozana Mohd Yusak, 35, yang juga teman wanita Muhammad Faizul, di rumah mangsa di Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini antara pukul 12 tengah malam hingga 1.15 pagi, pada 21 Disember 2011.

    Muhammad Faizul dan Mohd. Zulhaziq dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Hujah pendakwaan menyatakan kedua-dua lelaki itu telah pergi ke rumah Rozana dan berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan mangsa mati akibat ditikam 78 kali selain mengalami beberapa kesan luka dan lebam disebabkan objek tajam.

    Pihak pendakwaan turut mengemukakan keterangan saksi bahawa Mohd. Zulhaziq telah membuat persiapan awal pembunuhan dengan membawa sebilah pisau sebelum pergi ke rumah mangsa.

    Sepanjang perbicaraan diadakan, sebanyak 13 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkish Abdul Yazaid manakala Muhammad Faizul diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Mohd. Zulhaziq pula diwakili Saladin Mohd. Yasin.-BERNAMA

    ReplyDelete