November 8, 2011

‘Pantai ubat rindu’

CHUKAI: “Apabila menjelang musim tengkujuh, saya teringat arwah dan perasaan rindu kepadanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, hanya gambar dan laut sebagai pengubat rindu,” kata Faridah Mohamad Amin, 48, isteri kepada Abd Rahman Ismail, 52, dari Kampung Gelugor Kerteh, dekat sini, yang hilang di laut pada 13 Januari tahun lalu ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, walaupun suaminya hilang sejak setahun lalu, dia masih merindui dan mengingati pasangan hidupnya itu.

“Saya tidak pernah melupakannya, malah sering menatap gambar dan sesekali membawa anak tunggal kami, Mohd Irman Fazrul berusia lima tahun ke pantai untuk melepaskan rindu kepada arwah.

“Musim tengkujuh membuatkan saya terkenangkan suami, paling menyedihkan Mohd Irman Fazrul sehingga kini bertanyakan ayahnya. Sebagai menjawab soalannya, saya akan membawa dia ke pantai bagi menghilangkan rasa rindunya itu.

“Sejak arwah hilang di laut, saya adalah ibu dan bapa kepada Mohd Irman Fazrul, dengan pendapatan RM500 sebulan sebagai tukang sapu kami hidup dengan penuh kesederhanaan. Memang kadang-kadang tidak cukup tapi apa boleh buat itu saja rezeki kami berdua,” katanya.

Faridah berkata, berbeza dengan orang lain yang menziarahi keluarga meninggal di tanah perkuburan pada hari raya, dia dan anaknya pula ke pantai untuk menziarahi arwah.

“Arwah pergi tidak meninggalkan tanda (kubur), jadi kami menganggap laut terbentang luas itu pusara arwah kerana dia hilang ketika menangkap ikan,” katanya.

myMetro
8 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment