November 8, 2011

Dibelasah akibat potong giliran

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan berusia 30 tahun cedera di badan dan kepala selepas dibelasah tujuh lelaki bersenjatakan pemutar skru di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Baru Ampang, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dipukul kumpulan terbabit selepas meminta daripada seorang lelaki kumpulan berkenaan yang berusia lingkungan 20-an membuat bayaran terlebih dulu kerana mangsa mahu bergegas pulang ke rumah.

Menurut sumber, tindakan mangsa meminta kebenaran untuk memotong giliran menimbulkan kemarahan lelaki itu menyebabkan berlaku pertengkaran di premis berkenaan.

“Mangsa bagaimanapun meminta maaf sebelum menjelaskan mahu pulang ke rumah segera kerana ada hal penting yang perlu diselesaikan,” katanya.

Sumber berkata, jam 4 petang hari sama, lelaki itu menghubungi mangsa dan mendakwa mahu bertemu dengannya.

“Mangsa yang bersendirian ke lokasi berkenaan kemudian dikepung tujuh lelaki termasuk suspek sebelum mereka memukulnya.

“Mangsa disepak, diterajang dan dipukul dengan pemutar skru hampir 10 minit sebelum mereka itu melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang.

Mangsa yang cedera di badan dan kepala kemudian dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Ampang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro
8 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment