October 31, 2011

Tiga pekerja binaan cedera parah, koridor banglo runtuh

PETALING JAYA: Tiga buruh binaan mengalami kecederaan parah selepas koridor banglo tiga tingkat yang sedang dalam pengubahsuaian runtuh di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, pagi tadi.

Kesemua mangsa kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 9.20 pagi itu, kesemua mangsa yang berumur antara 35 hingga 50 tahun sedang melakukan kerja kemasan terakhir pada koridor di tingkat tiga banglo berkenaan.

Akibat runtuhan itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh bersama lantai koridor berkenaan sebelum dihempap dan mengakibatkan kecederaan teruk di kepala, badan dan kaki mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata siasatan awal mendapati bahagian koridor yang dibina tidak kukuh menyebabkan runtuhan berkenaan.

"Ketiga-tiga mangsa sedang bekerja di koridor berkenaan manakala dua lagi rakan mereka di aras bawah sedang membersihkan kawasan pembinaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dari Sungai Buloh mengambil setengah jam bagi mengeluarkan seorang mangsa yang dihempap konkrit selepas dua lagi rakannya berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital dengan bantuan orang ramai.

Katanya, pihaknya akan meneliti laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan sama ada pembinaan banglo itu mendapat kelulusan atau sebaliknya.

Sementara itu, dua lagi rakan mangsa terselamat kerana berada di tingkat bawah banglo berkenaan.

Berita Harian
31 Okt 2011


Koridor runtuh: 3 cedera

BEGINILAH keadaan koridor di sebuah bangunan tiga tingkat yang runtuh hingga mengakibatkan lima pekerja cedera di Sungai Buloh, Selangor semalam. - GAMBAR KOSMO

PETALING JAYA 31 Okt. – Penduduk di Jalan Love Land, Kampung Baru, Sungai Buloh dekat sini hari ini gempar apabila lantai koridor sebuah rumah tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh, mengakibatkan tiga pekerja cedera, dua daripadanya parah.

Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ketika lima pekerja tempatan itu sedang menyiapkan pembinaan rumah tiga tingkat tersebut sejak 18 bulan lalu.

Rumah yang diubah suai itu milik seorang kontraktor tempatan yang ingin menjadikan kediaman itu seperti sebuah pangsapuri dengan lapan unit untuk disewakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, runtuhan dipercayai berpunca daripada struktur bangunan yang tidak kukuh.

Berikutan kejadian itu, katanya, dua pekerja terpaksa dirawat di hospital kerana cedera parah di dada dan kepala.

Beliau berkata, seorang lagi pekerja cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar, manakala dua pekerja lain terselamat kerana tidak berada di koridor itu semasa kejadian.

“Koridor yang menempatkan tiga pekerja itu tiba-tiba runtuh menyebabkan ketiga-tiga mereka yang berusia 35, 39 dan 50 tahun mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ini merupakan insiden kedua membabitkan bangunan yang sedang dibina runtuh di Lembah Klang, bulan ini.

Pada 11 Oktober lalu, seorang tukang simen warga Bangladesh cedera apabila bangunan tambahan KL Sentral di ibu negara tiba-tiba runtuh.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Puzi Mohd. Tabot berkata, pihaknya mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan seorang pekerja yang tersepit di celah runtuhan bangunan itu.

Katanya, dua lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan sudah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan oleh orang ramai.

Sementara itu, seorang wanita warga emas yang tinggal di rumah bersebelahan, Ah Leow, 71, memberitahu, dia terkejut apabila terdengar dentuman kuat dari arah rumah jiran yang masih dalam pembinaan itu.

“Saya dapat lihat debu kuat berterbangan dari arah runtuhan tersebut.

“Mujur semasa kejadian semua cucu saya tiada di rumah kerana bersekolah. Mereka selalu bermain di halaman rumah berhampiran rumah jiran tersebut,” katanya.

Utusan
1 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment