October 31, 2011

Lelaki Maut Tercampak Keluar Dari Kereta

KUANTAN: Seorang lelaki maut apabila tercampak keluar daripada keretanya selepas melanggar belakang sebuah kereta lain di Km111.8 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Kampung Awah, Temerloh dekat sini, Ahad.

Muhammad Raziman Ramli, 29, dari Paya Luas, Temerloh mati di tempat kejadian manakala penumpang hadapan yang merupakan rakannya, Noorfaizah Razali, 24, dari Jengka 17, cedera parah.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata kejadian pada pukul 11.25 pagi itu turut menyebabkan pemandu sebuah lagi kereta cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas), Temerloh.

"Kedua-dua kenderaan terbabit dari arah Kuantan menuju ke Temerloh. Mangsa dikatakan melanggar belakang sebuah kereta menyebabkan kereta itu terbabas ke kiri dan merempuh tiang elektrik. "Kenderaan yang dinaiki mangsa pula terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tiang konkrit sebuah kedai peralatan binaan di tepi jalan itu," katanya ketika di hubungi Bernama di sini, Isnin.

Sementara itu dalam satu lagi kemalangan, seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Km43 Jalan Kuantan-Maran, tengah hari Ahad.

Norhapizah Ahmad, 25, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Maran menuju ke Kuantan. -BERNAMA

31 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment