October 3, 2011

Polis Buru Suspek Kes Lelaki Mati Dibunuh Di Langkawi

LANGKAWI: Polis sedang mencari empat suspek yang dikenal pasti dalam kes kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui di sebuah apartmen di Jalan Ulu Melaka, Mukim Ayer Hangat di sini, Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Zakaria Ahmad berkata mereka yang berumur awal 30-an adalah warganegara Malaysia dan merupakan kawan karib kepada mangsa.

"Polis percaya dua daripada mereka masih ada di Langkawi manakala dua lagi di tanah besar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini.

Beliau berkata mayat lelaki yang berasal dari Kamunting, Perak itu ditemui tanpa baju dan hanya memakai seluar jeans oleh penjaga apartmen itu kira-kira pukul 9.30 pagi.

Mangsa dipercayai menginap di apartmen tersebut sejak 29 September lepas.

Zakaria berkata mangsa mengalami kecederaan di kepala.

Ekoran penemuan mayat mangsa kira-kira 4 petang, satu laporan polis dibuat oleh pekerja apartmen itu dengan membawa bersama beg pakaian yang dipercayai milik mangsa yang di dalamnya polis menemui sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan pakaian.

"Satu pasukan polis Langkawi lalu diarah ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan," katanya.

Siasatan awal pihak polis mendapati turut terdapat satu das kesan tembakan di dinding bilik membaca apartmen berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi untuk dibedah siasat.

Zakaria meminta orang ramai tampil memberi kerjasama untuk memudahkan siasatan lanjut dijalankan. -BERNAMA

3 Okt 2011


Lelaki tak jawab panggilan ditemui mati ditembak

LANGKAWI: Misteri panggilan telefon tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di sebuah bilik apartmen di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui kakitangan apartmen berkenaan jam 9.30 pagi ketika membuat pemeriksaan di bilik terbabit sebelum memaklumkan kepada pengurusan untuk membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pekerja terbabit yang membuka pintu bilik berkenaan terkejut melihat mayat seorang lelaki terlentang berlumuran darah dan sudah berbau.

Menurutnya, mangsa dari Kamunting, Perak mendaftar masuk ke apartmen itu pada Khamis lalu dan pekerja terbabit turut membuat beberapa panggilan untuk mengemas bilik berkenaan, bagaimanapun tiada jawapan.

Katanya, akibat tidak sedap hati, pekerja terbabit membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik sebelum menghubungi polis.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki terbabit dalam keadaan berseluar tanpa baju, selain kakinya berlipat dengan kesan satu das tembakan di kepala.

“Berikutan penemuan mayat pagi tadi (semalam), seorang wanita berusia 69 tahun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi membawa beg hitam mengandungi pakaian dan sepucuk pistol jam 4 petang ini (semalam).

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa telefon bimbit, sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan cermin mata yang boleh membantu siasatan dan mengenal pasti suspek,” katanya pada sidang media di IPD Langkawi, di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah dan Timbalannya, Deputi Superintendan Mat Akhir Jaafar.

Menurutnya, polis kini memburu dua pasangan warga tempatan termasuk satu pasangan suami isteri semuanya berusia 30-an yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan dipercayai bermotifkan dadah.

Katanya, polis sudah mengenal pasti suspek terbabit adalah pasangan suami isteri manakala dua lagi pasangan kekasih yang juga kenalan kepada mangsa.

“Operasi memburu keempat-empat suspek kini dipergiatkan dengan pemantauan berterusan di semua laluan keluar dari pulau ini di jeti Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

myMetro
3 Okt 2011


Polis Kedah buru suspek kes bunuh

LANGKAWI - Polis Kedah masih mengesan seorang lagi suspek yang dikehendaki berikutan kematian seorang lelaki di sebuah apartment di jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lelaki itu dikenali sebagai T. Royster dan alamat terakhirnya di No.66 Tawas Baru Utara, Taman Tasik Mewah, Ipoh, Perak, sedang dicari pihak polis untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, gambar lelaki berkenaan juga sedang diedar oleh pihak polis.

"Sehingga kini polis berjaya menahan enam orang suspek termasuk dua lelaki dan empat wanita berumur antara 17 sehingga 69 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver Specialist bersama beberapa butir peluru yang dibalut dengan tuala serta wang tunai sebanyak RM8,500 dan satu gari ditanam di kawasan apartment itu.

"Polis juga percaya kes ini berpunca atas dasar tidak puas hati dengan pembahagian wang yang mereka perolehi dalam kegiatan jenayah mereka,” katanya.

Dalam kejadian 2 Oktober lalu, K. Mohan, 31, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah apartment sewa di pulau peranginan ini. - Bernama

11 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment