October 3, 2011

Warga emas terkejut mayat bayi dalam perigi

TUAN MAT menceritakan mengenai mayat bayi yang dijumpainya kepada seorang pegawai polis di Kampung Kubang Kacang, Limbat, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Hasrat seorang warga emas untuk membersihkan diri selepas membuang air besar terbantut apabila menemui mayat seorang bayi diletakkan dalam sebuah beg yang ditemui terapung di dalam perigi sedalam kira-kira lima meter.

Seorang penoreh getah, Tuan Mat Tuan Lonik, 64, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi semalam ketika dia ke kebun getahnya di Kampung Kubang Kacang, Limbat dekat sini untuk menoreh.

Menurutnya, sebaik tiba di kebun, perutnya tiba-tiba sakit dan dia ke kawasan semak untuk membuang air besar sebelum ke perigi tersebut untuk membersihkan diri.

“Ketika saya cuba mengambil air menggunakan baldi yang diikat dengan tali, saya ternampak sebuah beg pakaian di dalamnya. Saya hairan sebab ketika saya datang ke perigi semalam, beg tersebut belum ada.

“Saya terpaksa dapatkan sebatang buluh untuk membawa naik beg tersebut kerana perigi tersebut agak dalam dan selepas berjaya membawa naik beg tersebut alangkah terkejutnya apabila saya mendapati mayat seorang bayi berada di dalamnya,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Kosmo
3 Okt 2011


Mayat bayi dalam perigi kebun getah

POLIS memeriksa bahan bukti di lokasi mayat bayi yang dijumpai dalam perigi di Kampung Kubang Kacang, Limbat, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 2 Okt. - Seorang penoreh getah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditemui dalam perigi kebun getahnya di Kampung Kubang Kacang, Limbat dekat sini, pagi ini.

Tuan Mat Tuan Lonik, 64, menemui mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu kira-kira pukul 8 pagi ketika dia ingin membersihkan dirinya selepas membuang air besar menggunakan air perigi tersebut.

Katanya, sewaktu mencedok air perigi itu yang sedalam kira-kira lima meter menggunakan baldi, dia tiba-tiba ternampak sebuah beg pakaian terapung dan tertutup rapi.

"Saya hairan sebab ketika saya datang ke perigi semalam, beg itu tidak ada. Saya terpaksa gunakan sebatang buluh untuk membawa naik beg tersebut.

"Selepas membawa naik beg itu, alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang bayi berada di dalamnya," kata Tuan Mat ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Dia kemudian bergegas pulang ke rumah untuk membersihkan diri sebelum memberitahu Penghulu dan orang kampung mengenai kejadian tersebut selain melaporkannya kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya bayi perempuan berketurunan Melayu itu dilahirkan dua atau tiga hari lalu.

Katanya, selain menemui bayi dalam beg, pihaknya turut menemui satu bungkusan mengandungi baju, kain batik sarung, seluar dalam, coli serta tuala yang mempunyai kesan darah tidak jauh dari perigi berkenaan.

"Kita percaya barangan yang ditemui kira-kira 20 meter dari perigi itu relevan dengan kes melibatkan bayi tersebut. Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

"Kita sedang mengesan mereka yang bertanggungjawab dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," ujarnya.

Utusan
3 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment