November 1, 2011

PGM rampas mercun, bunga api

MUAR 31 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 merampas mercun, bunga api serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM30,000 selepas menyerbu sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Kampung Raja, Pagoh di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam serbuan pukul 12 tengah hari yang disertai oleh seorang pegawai dan empat anggota itu, pondok berkenaan tidak berpenghuni.

Pegawai Memerintahnya, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, pemeriksaan di pondok itu menemui pelbagai jenis mercun, bunga api dan minuman keras dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa cukai kastam.

"Serbuan yang diketuai oleh Inspektor Mohd. Naser Marzuke itu menemui 358 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis serta 25 kotak minuman keras dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000 tidak termasuk cukai," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua barangan itu dipercayai diseludup untuk simpanan bagi kegunaan musim perayaan Tahun Baru Cina awal tahun depan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi mercun serta bunga api yang dirampas dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 terhadap kesemua barangan itu kerana disyaki belum lulus kastam.

"Pihak kami akan menyiasat bagi mengenal pasti pemilik ladang berkenaan dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Utusan
1 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment