November 1, 2011

Remaja maut motosikal bertembung ambulans

ANGGOTA polis trafik memeriksa motosikal Muhammad Mu'az Johari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Langgar, Simpang ke Pokok Asam, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 31 Okt. - Akibat tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans, seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan itu yang sedang membelok di Kampung Pokok Asam, Jalan Langgar dekat sini, malam tadi.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 8 malam, namun remaja itu, Muhammad Mu'az Johari, 13, dari Kampung Alor Raja meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketika kejadian, ambulans itu dalam perjalanan ke Kampung Pokok Asam untuk mengambil seorang warga emas yang sakit tenat.

Difahamkan, berikutan kemalangan tersebut, pesakit yang sepatutnya diambil ambulans itu meninggal dunia. Ambulans yang sama digunakan untuk menghantar remaja tersebut ke HSB untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki oleh remaja terlibat bertembung dengan ambulans yang ketika itu mahu membelok di sebuah simpang kanan.

"Sebelum kemalangan, beberapa kereta telah berhenti untuk memberi laluan kepada ambulans itu membelok ke simpang menghala ke Kampung Pokok Asam.

"Bagaimanapun, sewaktu ambulans itu membelok, sebuah motosikal tiba-tiba muncul dan gagal mengelak lalu bertembung dengan ambulans tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Katanya, remaja itu dikatakan tidak memakai topi keledar, cedera parah di kepala akibat hentakan kuat pada cermin ambulans selain kaki kanannya patah.

"Pemandu ambulans dan tiga pegawai perubatan di dalam ambulans tidak mengalami kecederaan dan keterangan mereka sudah diambil," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Muhammad Mu'az yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Setol, Jalan Langgar hari ini.

Utusan
1 Nov 2011


Maut dirempuh ambulans

ALOR SETAR: “Dia langsung tidak mahu bergambar bersama keluarga pada Aidilfitri lalu, malah tetap berdegil biarpun dipujuk. Tak sangka pula itu bagai petanda dia akan pergi selama-lamanya,” kata Ashraf Johari mengenai adiknya, Muhammad Mu’az, 13, yang terbunuh akibat dirempuh sebuah ambulans, kelmarin.

Kejadian berlaku di Kampung Pokok Asam, Langgar, dekat sini, kira-kira jam 8 malam ketika Muhammad Mu’az menunggang motosikal Modenas Kriss dari rumahnya di Kampung Alor Raja ke pekan Langgar.
Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditungganginya dilanggar sebuah ambulans yang dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mengambil pesakit di Kampung Pokok Asam.

Ashraf, 22, yang juga anak kedua daripada lima beradik berkata, Muhammad Mu’az menunggang motosikal untuk ke pekan Langgar selepas diminta bapanya, Johari Malek, 56, membeli kad tambah nilai telefon bimbit prabayar.

Menurutnya, ketika kejadian, bapanya tiada di rumah kerana ke Kuala Nerang untuk mencari lembu bagi disembelih sempena Aidiladha, minggu depan.

myMetro
1 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment