August 13, 2011

Polis tumpas Geng Bob Belacan

PETALING JAYA: Dua kumpulan yang melakukan kegiatan samun dengan memecahkan cermin kereta menggunakan palam pencucuh yang diubah suai dan cota sebelum melarikan pelbagai barangan, termasuk komputer riba di sekitar Petaling Jaya diberkas dalam serbuan berasingan di sini.

Satu daripada kumpulan berkenaan yang menggelar diri mereka sebagai Kumpulan Bob Belacan, dianggotai tiga lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan samun itu sejak beberapa bulan lalu, dicekup pada 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, berdasarkan maklumat penduduk Kota Damansara, sepasukan polis dari Balai Polis Kota Damansara dan sebuah unit MPV Elit mengejar suspek hingga ke Persiaran Surian sebelum menahan ketiga-tiga suspek yang menunggang dua motosikal.

“Mereka yang berusia antara 20 dan 25 tahun itu dikesan menggunakan palam pencucuh yang diubah suai untuk memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan barangan milik mangsa termasuk komputer riba dan radio kereta.

“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu dan dengan penangkapan tiga suspek, kami yakin akan menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah kereta di sekitar Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, Arjunaidi berkata, pihaknya juga menahan tiga lagi suspek berusia 18 dan 24 tahun yang menggunakan modus operandi sama di sekitar Bandar Utama.

Katanya, kumpulan suspek kedua itu turut menggunakan cota dalam kegiatan jenayah mereka.

“Kedua-dua kumpulan ini tiada kaitan, tetapi menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.

myMetro
13 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment