August 13, 2011

‘Hero’ tiba tepat masa

KOTA BHARU: Tindakan berani seorang pemandu peribadi masuk ke dalam rumah yang terbakar berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Padang Garong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, Wan Kamarzan Wan Mohamad, 49 nekad memecahkan pintu bilik sebelum mengeluarkan Mohd Murshidi Mohamad Fuad yang dalam keadaan ketakutan.

Sebelum kejadian, kanak-kanak itu berada di rumah bersama bapa saudaranya, Mohd Faiz Mohd Sobri, 17, namun ketika berlaku kebakaran bapa saudaranya itu 'terlupa' membawa Mohd Murshidi keluar akibat panik.

Menurut Wan Kamarzan, dia melihat kepulan asap ketika menunggang motosikal berhampiran tempat kejadian dan menyangka orang membakar sampah sebelum segera ke tempat kejadian selepas curiga dengan kepulan asap yang semakin tebal.

Katanya, dia melihat api marak membakar sebuah rumah dan melihat Mohd Faiz sedang menyelamatkan motosikalnya sebelum menjerit memanggil anak saudaranya yang berada di dalam rumah.

“Selepas Mohd Faiz menjerit memanggil anak saudaranya, saya beranikan diri masuk ke dalam rumah yang terbakar dan berasap tebal. Saya memeriksa tiga buah bilik tidur dan satu daripada bilik itu terkunci dari dalam.

“Saya nekad menendang pintu bilik itu sehingga pecah dan melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk ketakutan sambil memegang bunga api yang tidak dinyalakan dan segera mendukungnya keluar ke tempat selamat," katanya yang cedera di tapak tangan.

Dalam pada itu, nenek Mohd Murshidi, Jamaliah Mohd Ali, 58 berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghadiri kelas memasak di bandar Kota Bharu dan hanya mengetahui rumahnya terbakar selepas diberitahu pemilik rumah yang disewanya menerusi telefon bimbit.

Katanya, dia tidak pernah meninggalkan cucunya di rumah, tetapi pada hari kejadian, dia meninggalkan cucunya kerana anaknya, Mohd Faiz berada di rumah dan boleh menjaga cucunya itu.

“Ketika menghadiri kelas memasak, saya terkejut apabila menerima panggilan daripada pemilik rumah mengatakan rumah yang disewa terbakar.

“Syukur cucu dan anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Tinggi, Saipu Bahri Mohd Noor berkata, pihaknya menerima pangillan kecemasan kira-kira jam 12.15 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota bomba dan 5 jentera dari Balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kota Darulnaim.

Katanya, kerugian dianggarkan RM250,000 dan kejadian dipercayai berpunca daripada bunga api, tetapi siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit. Berdasarkan maklumat saksi, kejadian mungkin berpunca daripada bunga api, namun kita akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.

myMetro
13 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment