July 2, 2011

Pemuda dipenjara 4 tahun akibat merompak

KUANTAN- Seorang pemuda dipenjara empat tahun di Mahkamah Sesyen 2, di sini semalam selepas mengaku bersalah merompak di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Tertuduh, Mohd Suhaimi Sabli, 20 dari Kampung Manggis, Kuala Penyu, Sabah mengaku bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris ketika dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan rompakan ke atas dua pekerja kedai dengan mengacukan pisau untuk menakutkan mangsa di Jalan Bukit Ubi, pada 19 Jun lalu kira-kira jam 5.58 pagi.

Tertuduh yang juga seorang penganggur merampas 143 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM209.

Ketika diberikan peluang untuk merayu, pemuda itu memberikan alasan tidak mampu membayar sewa rumah dan makan selepas diberhentikan kerja di sebuah stesen minyak di sini selepas sebulan bekerja.

Dalam kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han, Fathiyah bersimpati dengan nasib tertuduh namun menjelaskan tertuduh sudah melakukan kesalahan itu dan perlu menerima hukuman sebelum menetapkan hukuman terbabit iaitu empat tahun penjara berkuat kuasa dari tarikh ditangkap iaitu 19 Jun lalu.

Sinar Harian
2 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment