July 16, 2011

Mati terjatuh selepas minum arak

KUALA LUMPUR - Keseronokan seorang remaja yang didakwa meminum arak bersama rakan-rakannya di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini berakhir tragedi apabila dia mati akibat terjatuh dari tingkat empat premis itu kelmarin.

Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Gopinath Krisnamurty, 18, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Seorang saksi yang tinggal di tingkat tiga flat tersebut memberitahu, sebelum kejadian, dia ternampak mangsa dan beberapa rakannya sedang meminum arak di tingkat bawah.

Katanya, mangsa tinggal bersama keluarganya di blok lain dan datang ke situ untuk berbual sambil minum arak bersama rakan-rakannya.

"Mangsa kemudian naik ke tingkat empat untuk pergi ke rumah salah seorang rakannya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terdengar suara seperti orang bertengkar dan disusuli dengan bunyi benda terhempas.

"Apabila saya keluar, saya dapati mangsa telah terjatuh tertiarap dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan-rakannya telah turun melihat mangsa sebelum melarikan diri," ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat beberapa botol arak dan minuman berkarbonat di tepi tiang tingkat bawah flat berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati mangsa mati selepas terjatuh dari tingkat empat flat tersebut.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kosmo
16 Jul 2011


Lihat mangsa jatuh melayang

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki, K Gopinathan, 18, maut selepas dipercayai terjatuh dari blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini malam kelmarin.

Sewaktu kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, dipercayai berlaku adegan kejar-mengejar di antara mangsa dan tiga individu lain.

Mangsa kemudiannya ditemui tertiarap dan kesan cedera parah pada bahagian kepala.

Seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Hairul, 17, berkata, ketika dia sampai di blok terbabit dan meletakkan motosikalnya, dia terdengar bunyi bising seperti pergaduhan.

Menurutnya, tidak berapa lama kemudian, dia ternampak satu objek terjatuh dari atas dan seorang lelaki didapati tertiarap sebelum dua lagi individu dilihat melarikan diri.

“Ketika melihat mangsa jatuh, ada seorang lelaki berada tidak jauh dari tempat mangsa jatuh.

“Apabila saya jerit, dia lari dan kemudian seorang lagi lari turun tangga dan beredar dengan menaiki motosikal Yamaha LC berwarna hitam.

“Saya cuba kejar untuk mendapatkan nombor pendaftaran motosikal terbabit tetapi tidak sempat,” katanya.

Hairul berkata, dia hanya sempat melihat dua nombor hadapan plat sahaja iaitu ‘46’.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata, dia ternampak seorang lelaki cuba turun dari tingkat lima dengan memanjat tembok sebelum melihatnya jatuh melayang dari atas.

Katanya, sebelum itu dia yang baru keluar daripada parkir kenderaan melihat tiga lelaki berkejaran naik ke tingkat atas di mana seorangnya adalah mangsa.

Sinar Harian difahamkan, mangsa adalah penduduk di kawasan sama namun tinggal di blok C dan bekerja sebagai penghantar surat.

Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan untuk mengesahkan kejadian itu namun gagal.

Sinar Harian
16 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment