July 16, 2011

Suami rayu pulangkan isteri, anak

ZAWAWI menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan isteri dan enam anaknya ketika ditemui di Rawang baru-baru ini. (gambar kecil) isteri beliau Samsiah Yusof

RAWANG - Seorang lelaki bekas pengikut Al-Arqam merayu supaya polis menyelamatkan isteri dan enam anaknya yang didakwa telah dibawa lari dan disembunyikan oleh pengikut kumpulan itu sejak 25 Jun lalu. Zawawi Aman, 44, mendakwa, isterinya, Samsiah Yusof, 44, dan tiga anaknya telah dilarikan ke Mekah, manakala tiga lagi anaknya yang lain disembunyikan di markas Al-Arqam di Country Homes di sini.

Enam anak pasangan itu ialah Siti Khaulah Al Azwar, Muhammad Najie Najwan, Muhammad Mufleh, Muhammad Abdul Bar, Nur Samahah dan Mariam Al Adzra. Kesemua mereka berusia di antara 3 dan 17 tahun. Mengimbau semula kejadian tersebut, guru itu mendakwa, dia mengesyaki ahli keluarganya dilarikan pengikut kumpulan tersebut selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) Samsiah mengatakan mereka tidak lagi berada di negara ini.

"Kami terpengaruh dengan ajaran tersebut ketika saya dan isteri menuntut di Pakistan kira-kira 10 tahun lalu. Bagaimanapun, saya kemudian meninggalkan ajaran itu selepas menyedari ia menyeleweng daripada Islam kira-kira tiga tahun lalu. "Bagaimanapun, isteri saya masih terpengaruh dan mereka enggan meninggalkan ajaran tersebut," ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, sejak itu, dia menentang keras tindakan ahli keluarga dan menasihatkan mereka supaya meninggalkan kumpulan tersebut serta-merta.

Bagaimanapun menurut Zawawi, nasihatnya tidak diendahkan hingga menyebabkan isteri serta enam anaknya dilarikan oleh pengikut kumpulan tersebut. Dakwa Zawawi, dia telah membuat laporan di Balai Polis Rawang pada 9 Julai lalu mengenai kejadian itu tetapi belum ada sebarang tindakan. Sehingga kini, Zawawi mendakwa dia gagal menghubungi Samsiah untuk mengetahui perkembangan lanjut.

Kosmo
16 Jul 2011


Guru tidak gentar disaman GISB

KUALA LUMPUR - Bekas pengikut Al-Arqam, Zawawi Aman, 44, menegaskan dia tidak takut disaman oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) berikutan dakwaannya mengatakan mereka bertanggungjawab melarikan isteri dan enam anaknya pada 25 Jun lalu.

Sebaliknya, Zawawi memberitahu, dia akan membuat lebih banyak lagi pendedahan mengenai penyelewengan dalam kumpulan itu demi akidah anak-anak dan isterinya.

"Saya tidak takut disaman kerana saya ada hak ke atas semua anak-anak dan isteri," tegasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Zawawi lagi, dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa ahli keluarganya kembali ke pangkal jalan.

Zawawi berkata demikian sebagai mengulas tindakan GISB yang menafikan dakwaan guru itu.

Ahli Lembaga Pengarah GISB, Zulkifli Awang Kecik, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media semalam berkata, pihaknya meminta Zawawi menarik semula dakwaan atau menghadapi tindakan undang-undang.

"Apa yang didakwa Zawawi tidak benar. Isteri dan tiga anaknya pergi ke Mesir untuk menyambung pengajian manakala tiga lagi anaknya masih ada di negara ini," katanya.

Kosmo
18 Jul 2011


'Sudah tiga tahun tak jumpa isteri, anak'

SHAH ALAM - Esok 20 September adalah tarikh yang dinanti-nanti oleh bekas pengikut Al Arqam, Zawawi Aman untuk menyambut kepulangan isterinya, Samsiah Yusuf dan anak-anak mereka dari Jordan setelah tiga tahun terpisah.

Zawawi yang kini Pengetua Maahad Tahfiz al Quran An Najihah di Nilai, Negeri Sembilan berkata, sudah terlalu lama dia menantikan saat itu setelah rasa rindu terhadap keluarga sudah tidak terbendung lagi.

“Saya dah tak sabar nak tunggu 20 September ni. Sudah tiga tahun tak jumpa isteri dan lima anak saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Zawawi, Samsiah dan lima anak mereka, Muhammad Abdul Bar, Siti Maryam Adzar, Nur Samahan, Siti Khaulah Al Azwar dan Muhammad Qutaibah  dibawa ke Jordan dari  Kaherah, Mesir oleh pengurusan Global Ikhwan (yang ditubuhkan untuk menghimpun bekas pengikut Al Arqam selepas pertubuhan itu diharamkan) selepas pihak berkenaan menghidu usahanya cuba menjejaki dan membawa mereka pulang ke tanah air.

Dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Mesir, Zawawi berjaya mengesan keluarganya di Jordan.

"Saya terus ke sana untuk bawa mereka tapi isteri dan anak-anak tidak mahu ikut. Mereka dihasut supaya membenci saya dan anggap saya sebagai musuh selepas tinggalkan Global Ikhwan," katanya.

Sejak 2011, Zawawi dipisahkan dengan keluarganya selepas meninggalkan pertubuhan berkenaan tiga tahun sebelum itu.

Mengimbau pengalaman menyertai al Arqam dan kemudian Global Ikhwan, Zawawi menjelaskan, beliau menyertai pertubuhan yang diasaskan shaari Mohammad atau Abuya ketika berumur 17 tahun pada 1984.

Berasal dari Jertih, Terengganu, lelaki itu mengahwini Samsiah yang juga pengikut Al Arqam pada 1992, sebelum bersama-sama melanjutkan pelajaran di University of Islamic Studies di Karachi, Pakistan.

Beliau mula sangsi dengan perjuangan Global Ikhwan selepas menyedari berlaku penyelewengan dalam pendidikan penghuni rumah amal.

“Pelajar digunakan untuk mencari dana. Dari sudut pendidikan pula, tenaga pengajar bukan terdiri daripada mereka yang terlatih. GISB menggunakan platform tahfiz tetapi tidak serius menggunakan platform tersebut,” katanya.

Zawawi berkata, selama tiga tahun beliau bersama keluarga cuba mengajak isterinya kembali ke landasan sebenar namun semuanya berakhir selepas Samsiah dan anak nya dibawa ke Kaherah pada 2011.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat tujuh laporan polis dan semuanya bakal memberi sinar baru kepada Zawawi selepas menerima tiga surat daripada GISB, baru-baru ini, menyatakan bahawa isteri dan anaknya akan pulang kepangkuannya.

“Hati mana tidak gembira bila mendapat tahu bahawa isteri dan anak-anak akan kembali ke pangkuan saya.  Rasa rindu akan terubat dan kami akan hidup bersama semula, seperti keluarga lain,” katanya.

Sinar Harian 19 Sep 2013


Tiga lagi anak belum dipulangkan GISB

Sepang: “Selepas tiga tahun terpisah, saya gembira isteri, Samsiah Yusuf dan anak bongsu, Mohd Abd Bar, 5, dikembalikan kepada saya. Namun, pada masa sama hati saya sebak kerana tiga lagi anak yang berada di Jordan tidak dipulangkan,” kata bekas pengikut al-Arqam, Mohd Zawawi Aman, 46.

Beliau menyambut Samsiah dan Mohd Abd Bar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 9.30 malam kelmarin, dari Jordan.

Dalam pertemuan itu, riak wajah Mohd Zawawi yang kelihatan gembira bercampur sebak serta dan kecewa, menyatakan penghargaannya kepada pihak media yang membuat pendedahan berterusan berhubung penyelewengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) sehingga mereka mengaku salah dan memulangkan isteri serta anaknya, kelmarin.

Tiga lagi belum pulang

Zawawi berkata, anak sulungnya, Mohd Qutaibah, 20, dilaporkan tiba petang kelmarin menaiki penerbangan dari Indonesia, tetapi kini berada di Rawang.

“Saya gembira, tapi belum sepenuhnya kerana tiga lagi anak saya yang bawah umur masih tidak dikembalikan seperti dijanjikan dalam surat yang dikemukakan GISB pada 4 September lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, di sini kelmarin.

Berikutan itu, Pengetua Maahad Tahfiz al Quran An Najihah di Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika GISB gagal memulangkan tiga anaknya dalam tempoh dua minggu selepas laporan polis dibuat di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Dapat arahan

“Saya bimbang keselamatan diri, khususnya dua daripada tiga anak saya masih bawah umur dan di bawah tanggungjawab saya dan isteri sebagai ibu bapa yang masih hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Samsiah yang ditemui sejurus tiba, berkata tindakannya pulang ke negara ini diaturkan GISB selepas hasil perbincangan kedua-dua pihak, termasuk suaminya.

“Saya tidak boleh kata kepulangan saya ke negara ini atas keputusan sendiri, saya pulang selepas diarahkan pulang,” katanya yang mengakui ditemani seorang wakil lelaki GISB, namun ‘menghilangkan diri’ sejurus tiba di lapangan terbang.

Ditanya sejak bila beliau sedar ajaran dibawa GISB salah, Samsiah berkata, sejak 31 Ogos lalu selepas peneraju GISB yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam, Hatijah Aam mengaku salah dan meminta ahli GISB bertaubat kerana mengikut ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Berita Harian 23 Sep 2013


GISB janji pulangkan anak bekas pengikut
 
Kuala Lumpur: Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) berjanji memulangkan tiga lagi anak bekas pengikut al-Arqam, Mohd Zawawi Aman, yang dipisah dan dilarikan ke Jordan sejak tiga tahun lalu pada Jumaat ini.

Khabar itu disampai menerusi panggilan telefon wakil GISB semalam, selepas beliau mendesak tindakan undang-undang mengikut Akta Culik 1961 akan diambil, jika mereka gagal memulangkan tiga anaknya itu.

Sebelum ini, isteri dan lima anaknya dipisah dan dilarikan ke Jordan tanpa pengetahuan serta kebenaran Mohd Zawawi. Bagaimanapun, pada 21 September lalu, isteri dan dua anaknya dikembalikan tetapi tiga lagi belum dipulangkan.

Mohd Zawawi menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan diri, khususnya dua daripada tiga anaknya yang berada di luar negara itu kerana mereka masih di bawah umur.

“Wakil GISB menghubungi isteri saya memaklumkan tiga lagi anak kami dijangka tiba bersama beberapa ahli GISB dewasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi BH di sini semalam.

Berita Harian 4 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment