July 24, 2011

Dua Pelajar Cedera Disengat Tebuan Ketika Menuruni Gunung Korbu

IPOH: Dua pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Ipoh, cedera akibat disengat tebuan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Gunung Korbu, dekat Kuala Kangsar, kira-kira 60km dari sini, Sabtu.

Pegawai Kanan Bomba Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata Mohd Adlin Aiman Razali dan Mohd Harith Zainuddin, kedua-dua berusia 14 tahun, mengalami bengkak-bengkak di seluruh badan akibat kejadian, dan mereka sedang dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

"Mereka masih dirawat di hospital dan keadaan mereka stabil," katanya ketika dihubungi Ahad.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7 petang semasa mereka berdua bersama 23 pelajar dari sekolah itu sedang menuruni gunung tersebut untuk pulang ke asrama sekolah di sini.

Menurutnya laporan kejadian diterima pada pukul 7.25 petang dan lebih 40 petugas dari Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam(JPAM), polis dan Rela, dengan bantuan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menghulur bantuan.

Ismail berkata kedua-dua pelajar yang cedera itu kemudian dibawa ke hospital dengan menaiki pacuan empat roda, dan menurutnya kumpulan pelajar itu didapati mendaki gunung berkenaan dua hari lepas tanpa memaklumkan kepada pihak polis atau Bomba.- BERNAMA

24 Jul 2011


Tahan sakit 7 jam disengat tebuan

MUHAMMAD ADLI menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar kelmarin.

KUALA KANGSAR: Dua pelajar Tingkatan Dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan bomba dan penyelamat akibat cedera disengat tebuan ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, masing-masing berusia 14 tahun, cedera terutama di muka dan seluruh badan akibat disengat tebuan tanah sebelum dibawa turun anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, malam kelmarin.

Kedua-dua mereka yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini. Mereka antara 26 pelajar dan tiga guru pengiring STAR yang menyertai ekspedisi berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli, berkata dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang apabila secara tiba-tiba diserang tebuan tanah.

“Sebaik diserang, saya dan Mohd Harith lari bertempiaran serta sempat menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.

“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini, semalam.

Muhammad Adli berkata, tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki.

Berita Harian
25 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment