July 24, 2011

Edar Kanabis, Empat Sahabat Dijatuhi Hukuman Mati

ALOR SETAR: Empat sahabat, termasuk seorang warga Thailand, pada Ahad dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah mengedar kanabis lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mohd Sabri Ishak, 36, Muhamad Hasbi Baskaran Abdullah, 41, Jarry Saeddanee, 37, warga Thailand, dan Azizan Hamid, 45, ditahan oleh anggota polis yang menyamar sebagai pembeli di Bukit Kayu Hitam pada 20 Mei 2006.

Kesemua lelaki itu dituduh dengan niat bersama mengedar kanabis seberat 93,070 gram di Jalan Taman Seri Temin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira 7 pagi pada tarikh tersebut.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum menurut Seksyen 39B(2)akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohd Sabre bekerja di bahagian kargo sebuah lapangan terbang, Muhamad Hasbi merupakan pemandu lori dan kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang manakala Azizan bekerja sebagai nelayan di Langkawi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shuhada Mohd Yatim manakala Mohd Sabri, Muhammad Hasbi, Jaren dan Azizan masing-masing diwakili peguam R.S. Rayer, S. Yagoo, Ali Munawar Razak dan Datuk Abdul Halim Said.- BERNAMA

24 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment