July 7, 2011

Beli beras 50kg sebelum maut

PASIR MAS – Seorang mekanik sempat membeli beras sebanyak 50 kilogram (kg) dua hari sebelum dia maut dalam kemalangan di Kampung Jerulong dekat sini kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Che Mariam Che Pa, 49, anaknya, Hazlan Abd. Ghani, 33, yang juga seorang duda, bersikap luar biasa apabila membeli beras dalam jumlah yang banyak untuk mereka berdua.

“Ketika itu, arwah beritahu dia beli beras itu untuk kenduri. Saya tak tahu kenduri apa yang dimaksudkan, tetapi rupa-rupanya ia adalah kenduri tahlil untuk dirinya sendiri.

“Malah, malam sebelum kejadian dia beriya-iya hendak makan bersama saya kerana selalunya dia akan makan bersendirian,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kemalangan itu, motosikal yang ditunggang Hazlan bertembung dengan sebuah motosikal lain kira-kira pukul 1.15 pagi.

Kosmo
7 Jul 2011


Beli beras kenduri sebelum maut

PASIR MAS: “Saya pelik apabila arwah membeli 50 kilogram beras untuk mengadakan kenduri sedangkan kami tidak pernah berhasrat untuk berbuat demikian dalam masa terdekat,” kata Che Mariam Che Pa, 49, ibu kepada Hazlan Abdul Ghani@Abdul Aziz, 33, yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas-Lati dekat Lemal, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, perjalanan pulang Hazlan dari rumah adiknya di Lemal bertukar tragedi apabila motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang Mohd Marwan Wan Adnan, 33.

Kemalangan itu menyebabkan Mohd Marwan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Hazlan yang turut mengalami nasib sama disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian di Hospital Pasir Mas.

Che Mariam berkata, anak sulungnya itu beria-ia membelikan beras sebanyak 50 kilogram, sedangkan perkara itu tak pernah dibuatnya sebelum ini.

“Memang saya pelik dengan tingkah lakunya ketika itu dan perkara sama turut disedari adik beradiknya yang lain. Bila ditanya kepadanya ketika itu, dia hanya menjawab ringkas sambil berkata tujuannya membeli beras itu untuk kenduri.

“Tidak sangka sikap peliknya itu menjadi petanda yang kenduri dimaksudkan itu untuk dirinya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lati di sini, semalam.

Menurut Mariam, Hazlan membeli beras dalam kuantiti banyak dua hari sebelum kemalangan menimpanya dan perangai pelik itu disedari adik beradiknya, memandangkan beras itu terlalu banyak untuk dimakan dalam tempoh yang lama.

“Bagaimanapun, selepas dua hari dia membeli beras, saya dan keluarga menerima berita menyedihkan apabila dia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah adiknya, Mohd Azli, 28, yang tidak jauh dari rumah kami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang masing-masing bertembung antara satu sama lain menyebabkan mereka cedera parah.

myMetro
7 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment