June 8, 2011

Lelaki tak terkecuali diragut

SEGAMAT - Polis daerah ini berjaya menyelesaikan satu kes ragut kurang daripada 48 jam atas risikan dan maklumat orang ramai berkaitan kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas aduan awam, pihaknya berjaya menahan dua suspek lelaki di Kampung Kadut, Pekan Jabi, di sini sekitar jam 1 pagi pada, 4 Jun lalu.

Menurutnya, :penahanan itu adalah berdasarkan laporan yang dibuat seorang mangsa lelaki pada jam 5 petang, 2 Jun, lalu.

“Dalam kejadian berkenaan, mangsa dalam perjalanan dari Buloh Kasap menghala ke Bukit Siput dengan menaiki motosikal dan dihimpit sebuah motosikal Yamaha LC berwarna merah yang ditunggang seorang lelaki.

“Suspek meragut beg duit mangsa yang di dalamnya ada beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai RM600,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Mangsa, Mohd Azahar Abdul Ghani, 27, berkata, sewaktu dia ditahan, suspek menyatakan motor yang ditungganginya adalah motor milik adik saudaranya yang hilang dan ketika mengeluarkan kad pengenalan yang diminta untuk dilihat (suspek), dia terus melarikan beg duitnya.

“Semasa kejadian, saya hanya sempat mengecam tatoo di peha kiri suspek,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Majid berkata, dengan penahanan dua suspek ini bukan sahaja dapat menyelesaikan kes ragut dalam masa kurang daripada 48 jam, malah, berjaya menyelesaikan enam jenayah sama bagi tahun ini, di sini.

“Dua suspek yang ditahan berumur 24 dan 30 tahun. Siasatan yang dijalankan mendapati suspek berumur 30 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu terlibat kes samun, dadah dan gaduh serta pernah dimasukkan ke dalam penjara sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek berumur 24 tahun tiada rekod jenayah lampau dan adalah rakyat tempatan. Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan,” katanya.

Sinar Harian
8 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment