June 8, 2011

Buru nama samaran ‘Aziz’

TELUK INTAN- Gara-gara membuat tiga panggilan palsu ke nombor 999, seorang lelaki yang dipercayai menggunakan pelbagai nama samaran diburu polis.

Lelaki berkenaan dikatakan membuat panggilan palsu ke 999 dengan melaporkan pelbagai kejadian termasuklah kes kemalangan, pergaduhan dan kematian.

Penolong Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Langkap, K Pravin berkata, pihaknya turut menjadi sasaran pemanggil ‘misteri’ itu.

Menurutnya, pihaknya sering menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menggunakan pelbagai nama samaran, namun menggunakan talian bimbit yang sama.

“Salah satu panggilan palsu berkenaan adalah kes pergaduhan berkumpulan yang melibatkan pemuda Melayu dan India di Pekan Langkap, laporan palsu kedua dibuat lelaki sama melalui nombor sama mengatakan sebatang pokok besar menghempap sebuah kereta di kawasan Kampung Atta Duri.

“Kelmarin, satu lagi panggilan palsu di buat lelaki itu melalui nombor telefon bimbit sama ke talian 999 mengatakan terdapat mayat bayi di temui dalam parit di tepi jalan berhampiran Kampung Attaduri, bagaimanapun apabila bomba, polis dan ambulans tiba di tempat kejadian, tiada apa yang berlaku,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian selepas membuat satu laporan polis berhubung ‘gangguan’ lelaki berkenaan di Balai Polis Langkap, semalam.

Difahamkan, lelaki yang pernah menggunakan nama samaran sebagai ‘Aziz’ itu dikesan sering melakukan panggilan palsu berdasarkan rekod panggilan yang disemak di pusat panggilan Klinik Kesihatan Langkap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Muhamad Zaki Harun ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Menurut beliau, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan bagi sesiapa yang membuat panggilan palsu.

Katanya, polis memandang serius kes berkenaan kerana ia menyusahkan semua pihak yang terlibat, tindakan pemanggil berkenaan dianggap tidak bertanggungjawab.

“Kita sudah melancarkan gerakan memburu suspek berkenaan, saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan sesekali melakukan perkara sama kerana membuang masa pihak berkuasa dan ianya menjadi satu kesalahan bagi sesiapa melakukan secara sengaja,” katanya.

Sinar Harian
8 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment