June 8, 2011

Kutip kulit badan setiap hari

POKOK SENA - Kira-kira satu cawan kulit badan seorang pesakit kulit di sini dapat dikumpul selepas ia mengelupas dan tanggal dari seluruh badannya sejak dua tahun lalu.

Mansor Salleh, 55, yang juga bekas tentera darat, dirujuk kepada doktor pakar dan berpendapat dia tidak mengalami sebarang penyakit dan hanya mengalami alahan sahaja.

Bagaimanapun isterinya, Rohani Abdul Hamid, 52, berkata, sudah ramai doktor pakar kulit dan berpuluh pengamal perubatan tradisional ditemui, namun masih belum nampak sebarang perubahan mengenai penyakit suaminya.

Menurutnya, kini suaminya hanya berselera untuk menjamah dua hingga tiga sudu nasi sehari.

“Bagi melembapkan kulitnya yang mengelupas, saya perlu sentiasa menyapu krim pelembap dari semasa ke semasa di seluruh badannya.

“Kira-kira empat botol krim pelembap diperlukan sebulan dan setiap botol berharga lebih RM200,” katanya ketika ditemui di Kampung Kejai B, dekat sini.

Rohani berkata, badan suaminya semakin susut dan tidak bermaya, tetapi kulit badannya akan ada kembali walaupun sudah banyak yang mengelupas.

Menurutnya, dia sekeluarga cuba menempatkan Mansor di hospital bagi mendapatkan rawatan, tetapi tidak dibenarkan disebabkan tidak menghidap sebarang penyakit.

“Dia sentiasa cuba membuang kulit-kulitnya yang mengelupas, sebab itulah kami menutup semua tingkap dan lampu supaya dia tidak dapat melihat keadaan kulitnya sedemikian,” katanya.

Sesiapa yang sedia menghulurkan bantuan dan nasihat bolehlah menghubungi talian 017-4558135.

Sinar Harian
8 Jun 2011


Nasib Mansor dapat perhatian

POKOK SENA - Seorang usahawan produk herba tersentuh hati dengan penderitaan yang dihadapi oleh seorang pesakit kulit yang terpaksa menderita hampir dua tahun seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam.

Datuk Dr Che Rozmey Che Din ataupun lebih dikenali dengan nama Dr Rozmey yang berkunjung ke rumah Mansor Salleh, 55, di Kampung Kejai B akan cuba merawat penyakit kulit yang dihadapi oleh bekas tentera berkenaan.

Rozmey berkata, sekiranya badan Mansor mampu menerima rawatannya, ia akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memulihkan penyakit berkenaan.

“Selain produk yang akan dibekalkan kepada Mansor, kita juga membekalkan vitamin bagi menguatkan sistem badannya kerana kami difahamkan dia tidak berselera untuk makan.

“Selain itu menurut isterinya, penyakit Mansor juga tiba-tiba datang dan tidak tahu apa punca sebenarnya dan pada waktu yang sama dikatakan hanya mengalami alahan oleh doktor yang merawatnya,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, keadaan kulit Mansor sekarang berada pada tahap yang tidak matang dan sangat nipis.

Menurutnya, rawatan dan produk akan dibekalkan secara percuma kepada pesakit berkenaan.

Sinar Harian
9 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment