June 23, 2011

Elak kekeliruan masuk Malaysia

JOHOR BAHRU - Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa simpati terhadap dua kakitangan Jabatan Imigresen Johor yang digantung kerja kerana terlibat dalam pemeriksaan dua warga Singapura yang masuk tanpa dokumen ke negara ini baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya menghormati keputusan yang telah dibuat dan sedia maklum apa yang telah dilakukan kedua-dua pegawai terbabit merupakan satu prosedur yang ditetapkan.

Beliau turut menganggap kecuaian dua warga Singapura mendapatkan cop pengesahan masuk negara ini sebagai satu kesilapan manusia dan pihaknya memberikan beberapa cadangan bagi proses masuk ke negara ini agar insiden seumpamanya tidak berulang.

“Kita mencadangkan agar proses kemasukan ke negara ini dibaiki terutama di kaunter dua tol masuk ke negara ini yang mengelirukan.

“Tol pertama yang dilalui kedua-dua warga Singapura ketika itu tiada kakitangan yang bertugas dan mereka telah menggunakan pas sentuh dan lalu (Touch n Go) dan pengadang di tol berkenaan telah dibuka lalu mereka beranggapan negara kita telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan surat menyatakan rasa simpati berkenaan kepada Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Mohd Nasri Ishak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, semalam.

Suhaizan berkata, pengadang di kaunter tol sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresen bukannya berada di kaunter tol dan kebenaran masuk perlu dibuat pegawai bertugas.

“Dengan cara ini setelah mendapat kebenaran daripada pegawai berkenaan maka pengadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara ini.

“Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresen dan kaunter tol disatukan seperti proses masuk ke Singapura, ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutama bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara ini,” katanya.

Katanya, Jabatan Imigresen perlu mengkaji semua Prosedur Tetap Operasi (SOP) terhadap suspek yang memerlukan mereka berbogel dan ketuk ketampi.

“Walaupun matlamatnya sangat baik untuk mengeluarkan bahan-bahan seludup tetapi SOP ini boleh menjatuhkan maruah suspek dan bertentangan dengan Suruhanjaya Diraja yang telah menyiasat peraturan ini diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah.

“Kami juga mencadangkan penggunaan teknologi terkini seperti pengimbas bagi menggantikan prosedur lama yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Suhaizan berkata, sebagai warganegara prihatin, DPPNJ ingin bersama-sama menjaga maruah negara daripada dicemari oleh pandangan-pandangan yang salah daripada negara luar.

“Semoga cadangan-cadangan yang diberi dapat meningkatkan imej Jabatan Imigresen seterusnya menjaga maruah negara ini,” katanya.

Sinar Harian
22 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment