June 23, 2011

Tertuduh naik berang

IPOH – Gara-gara tidak mahu gambar dirakam, seorang penjenayah bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata ugutan mahu mencederakan wartawan sewaktu di bawa keluar dua pegawai penjara di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Lim Poh Seng, 37, mengugut untuk menumbuk muka wartawan yang bertugas jika masih berdegil untuk merakamkan gambarnya.

Bagaimanapun, dua pegawai penjara yang bertugas pada ketika itu berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan wartawan berkenaan daripada diserang tertuduh.

Difahamkan tertuduh didakwa di atas kesalahan memiliki wang palsu berjumlah RM1,070 di Desa Cempaka pada 29 Jun tahun lalu.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, polis menyerbu rumah tertuduh selepas mendapat maklumat berhubung penyalahgunaan wang palsu.

Polis terpaksa memecahkan jeriji besi dan pintu kaca (sliding door) untuk memasuki rumah tertuduh yang didapati berkunci pada ketika itu.

Poh Seng kemudiannya ditemui di dalam bilik tidur utama tingkat atas rumah dan berlaku sedikit pergelutan antara pihak berkuasa dan tertuduh.

Sejurus pergelutan itu reda, polis menemui dompet berwarna hitam berisi 17 keping not wang palsu iaitu RM100 (enam keping), RM50 (sembilan keping) dan RM10 (dua keping).

Wang itu kemudiannya dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk di analisa dan ianya disahkan palsu.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Akmal, di sini, semalam.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

Selepas membuat pertimbangan Noor Akmal membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh mulai tarikh jatuh hukum.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Nor Abdurrahim manakala tertuduh diwakili peguam bela Ranjit Singh.

Sinar Harian
22 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment