May 21, 2011

Tak boleh lari lagi

KUALA LUMPUR: Polis sudah ada maklumat berhubung kes simbah cecair dipercayai asid membabitkan 23 kes dilaporkan di sekitar Lembah Klang sejak Februari lalu.

Bagaimanapun, sejak kejadian terakhir dua minggu lalu tiada lagi kes terbaru dilaporkan. Ini berikutan pemantauan berterusan polis dalam mengesan suspek berkenaan yang sehingga kini sudah dikenal pasti melalui fotofit yang digambarkan mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, langkah proaktif seperti menempatkan polis di kawasan yang menjadi tumpuan utama suspek serta rondaan dan sekatan jalan raya, berjaya mencegah kejadian simbah cecair itu daripada terus berlaku.

Menurutnya, polis mempunyai maklumat berkenaan kes itu dan tidak akan berdiam diri. Perbincangan serta langkah tertentu sedang giat dijalankan bagi mengekang suspek daripada terus melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dan membahayakan masyarakat. “Kami sudah ambil langkah strategik untuk mengawal suspek dan langkah yang saya anggap proaktif ini untuk memastikan semua berada dalam keadaan selamat terutama wanita.

“Sejak ia dilaksanakan, tiada kes baru dilaporkan sepanjang minggu lalu dan saya rasa ada kesannya tindakan polis di sekitar ibu negara atau Selangor ini. Bagaimanapun, suspek belum dapat ditangkap, namun saya seperti orang lain juga sangat berharap dia diberkas,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, polis melaksanakan langkah proaktif membabitkan pendekatan secara terbuka dan pengoperasian supaya dapat menyekat suspek daripada terus melakukan jenayah itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes rakyat Malaysia Mohd Nazarudin Saidin, 38, dari Sungai Buloh, Selangor, yang dilaporkan diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata di Pulau Sulu, selatan Filipina, pada 8 Mei lalu yang didakwa turut meminta wang tebusan jutaan ringgit, Ismail berkata, usaha menyelamatkan mangsa sedang dilakukan serta wang tebusan itu hanya sekadar dakwaan.

“Apa yang penting kita berusaha menyelamatkan mangsa, polis sedang berusaha ke arah itu...percayalah polis melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kepentingan semua orang yang menjadi mangsa dalam sesuatu kejadian,” katanya.

Mohd Nazarudin dari Sungai Buloh, Selangor, dilaporkan diculik di Pulau Sulu, selatan Filipina, pada 7 Mei lalu.

Terdahulu Ismail menyaksikan majlis serah tugas di antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Abu Bakar serahkan tugas kepada Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) yang baru, Datuk Salleh Mat Rashid Salleh dan Timbalan Pengarah I, Jabatan Logistik, Datuk Zubaidah Md Ismail dengan Pengarah Logistik baru, Datuk Zulkifli Abdullah.

myMetro
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment