May 7, 2011

Sindiket upah penunggang

JOHOR BAHRU: Taktik sebuah sindiket merekrut penunggang motosikal yang bekerja di Singapura sebagai pembawa dadah upahan bagi menyeludup masuk bekalan itu pada waktu puncak terbongkar apabila polis menahan tujuh orang serta merampas lebih 4.8 kilogram heroin bernilai RM1.1 juta, kelmarin.

Taktik berkenaan dipercayai bagi memudahkan mereka menyeludup masuk ke seberang tambak, berikutan ribuan motosikal yang melalui laluan sama untuk ke tempat kerja di republik berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata gerakan mengesan sindiket penyeludupan dadah itu dijalankan sejak setahun lalu selepas pihaknya menerima maklumat daripada Central Narcotics Bureau Singapore yang mengesan beberapa penunggang menyeludup dadah masuk ke negara itu.

Menurutnya, hasil maklumat berkenaan, siasatan terperinci dilakukan bagi melumpuhkan rangkaian sindiket sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati penunggang motosikal yang diupah sindiket berkenaan menyeberang Tambak Johor menerusi Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada awal pagi ketika ribuan penunggang lain bergegas ke tempat kerja.

“Selepas berpuas hati dengan hasil intipan, polis Johor dengan bantuan Bukit Aman melancarkan empat serbuan terhadap sasaran dikenal pasti di Bukit Chagar, Nusajaya, Taman Tun Aminah dan Kluang kira-kira jam 3 petang semalam dan menahan seorang wanita serta enam lelaki tempatan berusia 22 hingga 58 tahun.

“Selain itu, kami menyita enam kenderaan iaitu Toyota Altis, Volvo, Toyota Vios, Perodua Kancil, Viva serta Hyundai.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM1,078 serta 4.804 kilogram dadah disyaki heroin dipercayai hendak diseludup ke negara jiran melalui Tambak Johor,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek direman seminggu sehingga 12 Mei.

myMetro
7 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment