May 21, 2011

Seniwati Mahyon Ismail meninggal dunia

PETALING JAYA: Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Ismail meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Allahyarham adalah ibu kepada pelakon, Faizal Hussein. Dua lagi anak Allahyarhamn ialah Dilla dan Fairuz Hussein.

Suami Allahyarham, Hussien Abu Hassan meninggal dunia pada 25 November 2007.

Jenazah akan dimandikan di Madrasah sekitar Gombah dan dijangkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ibu Kota, Danau Kota, selepas waktu Asar.

Berita Harian
21 Mei 2011



Mahyon Ismail meninggal dunia selepas mengadu demam

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pelakon veteran, Mahyon Ismail sempat berlakon drama terakhirnya berjudul Serapah Darah Bulan Madu minggu lalu sebelum dia mengadu demam semalam dan meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini hari ini.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Faizal Hussein, 44, malam tadi ibunya mengadu demam dan dibawa ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kemudian dipindahkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

“Sebelum ini, ibu saya cuma demam biasa tetapi pada masa sama dia menghidap kencing manis. Kali terakhir saya berjumpa arwah petang semalam. Saya bersama arwah, kakak saya, Dilla dan anak saudara saya, Marissa pergi ke Pejabat Tanah di Gombak kerana ada urusan tanah.

“Ketika itu arwah nampak sihat. Malah, selepas itu arwah sempat lagi pergi ke Wangsa Walk di Wangsa Maju dan membeli lauk pauk dan sate bersama-sama kakak saya itu. Cuma pada pukul 10 malam tadi, arwah mengadu demam dan terus dibawa ke Hospital Ampang Puteri.

“Ibu saya meninggal dunia 12.30 tengah hari tadi mungkin kerana masalah penyakit kencing manis yang dihidapinya itu. Sebabnya sebelum itu, arwah pernah demam dan makan ubat termasuklah ubat batuk,” katanya sewaktu ditemui Utusan Malaysia di ICU, Hospital Ampang Puteri di sini.

Mahyon yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun dan merupakan isteri pelakon, Allahyarham Hussein Abu Hassan itu dikatakan mula demam sewaktu menjalani penggambaran drama Serapah Darah Bulan Madu sebanyak 13 episod di Hulu Langat, Selangor minggu lalu.

Lando, salah seorang pelakon dalam drama terbitan Skop Production dan diarahkan oleh Kumaresan Chanaya itu berkata, semasa penggambaran drama tersebut Allahyarham mula demam sehingga penggambaran adegan lakonannya dipercepatkan.

“Dalam drama bersiri itu, arwah melakonkan watak Mak Putih. Sewaktu penggambaran drama itu minggu lalu arwah sudah mula demam. Selain itu, empat lagi pelakon lain turut demam. Selepas seminggu penggambaran saya dapat tau arwah semakin pulih daripada demamnya.

“Bagaimanapun, selepas tamat penggambaran drama tersebut semalam, saya terkejut apabila diberitahu arwah telah pun meninggal dunia tengah hari ini. Saya tidak sangka minggu lalu adalah kali terakhir saya berlakon dengan arwah dalam drama tersebut,” ujarnya.

Allahyarham yang dilahirkan di Tanjong Karang, Selangor mula berlakon filem pada awal tahun 1960-an dan antara filem lakonannya berjudul Nasib Do Re Mi, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu, Bunga Padi Berdaun Lalang, Senja Merah serta Panglima Badul.

Hasil perkahwinannya dengan Hussein Abu Hassan yang meninggal dunia pada 26 November 2007 kerana penyakit paru-paru berair, Allahyarham dikurniakan tiga anak iaitu Fadila, 48, Fairuz, 46, dan Faizal, 44, serta lima cucu. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Setapak di sini malam ini. - Utusan

21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment