May 21, 2011

Bank tarik balik pinjaman

BUKTI...Normazrizan menunjukkan dokumen pembelian, surat rasmi, buku projek dan surat perjanjian yang ditandatanganinya.

KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans bukan saja terpaksa berputih mata apabila hasratnya untuk memiliki rumah pertama tidak kesampaian malah turut kehilangan deposit yang sudah dibayar kepada pemaju sejurus pihak bank menarik balik pinjaman yang sudah diluluskan, Januari lalu.

Mangsa, Normazrizan Daud, 23, berkata, dia mendapat kelulusan pinjaman sebuah bank di ibu kota pada 26 Oktober tahun lalu bagi membeli sebuah kondominium di Batu Caves berharga RM225,980 malah menerima berita gembira sesudah mendapat tahu bank berkenaan meluluskan pinjamannya sebanyak RM208,092 sejurus diberikan surat tawaran rasmi.

Katanya, dengan pendapatan lebih RM3,000 sebulan dia meyakinkan pihak bank untuk membayar ansuran bulanan dan diminta menandatangani pinjaman berkenaan pada 28 Oktober tahun lalu melalui Perjanjian Jualan dan Belian Rumah selain turut memberikan nama isterinya, Nur Fatin Nadhirah Abdullah, 25, sebagai peminjam bersama. “Selepas mendapat pinjaman bank saya membayar deposit rumah RM1,000 kepada pemaju dan diberikan kertas projek pembelian pada 1 November tahun lalu.

“Namun, impian saya musnah sesudah dihubungi bank terbabit pada 6 Januari lalu yang pinjaman saya ditarik balik tanpa sebarang alasan,” katanya.

Normazrizan berkata, tidak berpuas hati dengan tindakan itu dia berjumpa pengurus bank berkenaan pada 25 Mac lalu dan dimaklumkan permohonannya ditolak kerana dia bekerja sendiri sebagai penjual insurans selain baru bekerja tidak sampai dua tahun, sijil pengesahan pekerjaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sudah tamat tempoh seminggu dan peminjam bersama tidak mempunyai penyata gaji.

“Perkara yang membuatkan saya tidak berpuas hati adalah kecuaian pihak bank yang tidak meneliti dokumen permohonan saya. Kenapa bila perjanjian sudah dimeterai mereka tarik balik pinjaman itu.

“Saya kecewa pihak bank tidak memeriksa dengan teliti permohonan saya terlebih dulu sedangkan pada 28 Oktober tahun lalu mereka yang meminta saya menandatangani perjanjian terbabit kerana mereka takut kehilangan pelanggan,” katanya.

Normazmizan mengemukakan surat tidak puas hati kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Biro Pengaduan Awam dan Hal Ehwal Pengguna Pemuda Umno pada 30 Mac lalu.

Jurucakap BNM ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan mengkaji punca berlaku kejadian berkenaan.

myMetro
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment