May 21, 2011

Remaja terima padah samun polis

GEORGETOWN - Seorang remaja lelaki dipenjara tiga bulan dari tarikh tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cubaan menyamun anggota polis berpangkat koperal, tiga bulan lalu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Harindran Ampalakam, 20, dari Flat Jalan Sungai Pinang menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, G Jaya Prem.

Tertuduh disabitkan kesalahan cuba menyamun seutas rantai emas milik Anantha Perisamy, kira-kira jam 12.55 malam, di Jalan Burma, 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh disabit mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Februari lalu, Harindran didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan merompak secara berkumpulan. Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda atau sebat.

Dalam mahkamah yang sama, Harindran dan rakannya, Muhammad Imran Mohd Ibrahim, 23, dari Jalan Veterinar menghadapi satu lagi pertuduhan menyebabkan cedera terhadap mangsa yang sama ketika cubaan samun.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan disabit mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sitarun Nisa menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh tangkapan terhadap Harindran.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman terhadap Harindran berjalan serentak.

Sementara itu, Sitarun Nisa mengenakan hukuman denda RM3,000 terhadap Muhammad Imran.

“Jika gagal menjelaskan denda itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan,” katanya.

Dalam rayuan, peguam mewakili Harindran, Ong memohon satu hukuman ringan yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana menyesal dengan perbuatannya.

“Tertuduh sudah kesal dengan perbuatan ketika dalam tahanan polis selama tiga bulan. Dia hanya berpendidikan sehingga tingkatan dua manakala ibunya seorang pencuci yang memperoleh pendapatan kecil.

“Oleh itu, saya merayu mahkamah agar mengambil kira faktor mitigasi tertuduh dalam kes ini dan mengenakan hukuman seringan-ringan iaitu seboleh-bolehnya mengenakan hukuman khidmat masyarakat dari tarikh ditangkap,” katanya.

Manakala, Muhammad Imran diwakili V Parthipan, memohon mahkamah mengambil kira pengakuan salah dengan hanya mengenakan hukuman denda.

“Alasannya, Muhammad Imran masih berusia 23 tahun ketika kejadian, lagipun ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

“Oleh itu, saya memohon mahkamah agar mempertimbangkan faktor mitigasi dan memberi peluang kedua kepadanya agar menjadi insan yang baik,” katanya.

Sinar Harian
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment