May 21, 2011

Hidup tanpa tempurung kepala

BUKIT TAJAU - Akibat terjatuh sendiri ketika membonceng motosikal ditunggang rakan, seorang gadis sunti di Felda Bukit Tajau di sini mengalami kecederaan otak yang teruk sehingga membawa kepada masalah kognitif dan pertuturan serius.

Nurul Izzawati Che Lah, 25, kini hanya mampu terlantar di katil seharian apabila tidak dapat berjalan atau berdiri malah memerlukan bantuan untuk duduk.

Ibunya, Jimah Mat, 59, berkata, insiden yang mengubah kehidupan anaknya itu berlaku pada 12 Mac 2006 iaitu dua hari sebelum keputusan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) diumumkan.

“Nurul membonceng motosikal ditunggang rakannya yang mengambil dia di simpang masuk ke tanah rancangan ini selepas pulang dari Kuantan.

“Ketika sampai di terowong di bawah jejantas, Nurul terjatuh dan menyebabkan berlaku kecederaan teruk dan difahamkan terdapat darah beku di bahagian otak.

“Dia memperoleh keputusan 5P dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran,” katanya.


Berlaku komplikasi jangkitan otak


Jimah berkata, anaknya itu menjalani pembedahan pertama selepas lapan hari dari hari kejadian dan seterunya pada Oktober 2007 apabila berlaku komplikasi jangkitan otak.

Menurutnya, tempurung kepala yang rosak terpaksa dibuang dan diganti dengan jenis tiruan namun berlaku jangkitan termasuk bernanah sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan susulan.

“Sebanyak lapan pembedahan dilakukan dalam tempoh lima tahun dan akhirnya saya mengambil keputusan supaya Nurul meneruskan kehidupan tanpa tempurung kepala.

“Ini bagi mengelak jangkitan berulang selain memastikan Nurul tidak mengadu sakit dan tidak selesa menggunakan tempurung tiruan,” katanya.


Mohon sediakan wad pesakit terapi


Jimah kini memikul tanggungjawab menguruskan Nurul bersama seorang anak lelaki lain selepas suaminya baharu sahaja meninggal dunia, 40 hari lalu.

Menurutnya, berat badan Nurul naik mendadak sehingga sukar buat Jimah untuk mengangkat anaknya itu ke kerusi roda untuk mandi dan mengikuti terapi.

“Nurul berada di bawah jagaan Jabatan Rehabilitasi Hospital Kuala Lumpur bagi program pemulihan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Di HKL, pesakit dibenarkan tinggal di wad namun sebaliknya di HoSHAS.

“Maka saya perlu berulang-alik sejauh 50 kilometer bagi tujuan rawatan itu, sekali seminggu dan ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi,” katanya.

Jimah berkata, dia amat berharap supaya pihak HoSHAS dapat menyediakan tempat tinggal buat pesakit kerana rawatan itu amat diperlukan bagi memulihkan pesakit seperti anaknya.



Fizikal Nurul tunjuk perubahan positif



Menurut Jimah, dalam tempoh tiga tahun ini, Nurul menunjukkan perubahan positif apabila sentiasa tersenyum dan mula menggerakkan tangan dan kaki.

Menurutnya, doktor yang merawat Nurul memaklumkan bahawa hanya dengan menjalani terapi, anaknya itu berpeluang untuk pulih dan dapat berjalan seperti dahulu.

“Justeru, saya amat berharap agar anak saya diberi :kesempatan untuk menjalani terapi dengan lebih kerap,” katanya.


Terima bantuan bulanan dari JKM


Jimah meluahkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan bulanan sebanyak RM450 bagi menampung kos perbelanjaan termasuk lampin pakai buang.

Nurul yang dahulunya bercita-cita menjadi seorang pendidik turut hilang keupayaan bercakap akibat kecederaan teruk di bahagian otak.

Sinar Harian
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment