May 23, 2011

Pemuda dipenjara 13 tahun akibatkan kematian jurugambar

SHAH ALAM: Seorang pemasang mozek dikenakan hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang jurugambar, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad, memerintahkan lelaki itu, yang ketika kejadian berumur 17 tahun enam bulan, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 3 Mei 2007.

Siti Mariah turut menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas empat rakan lelaki itu G Satiaraj, 24, R Gunasegaran, 23, M Sattian, 25, dan seorang lagi remaja lelaki yang semasa kejadian berumur 17 tahun 11 bulan selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan sama.

Mahkamah memerintahkan keempat-empat lelaki itu menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu antara 29 April dan 11 Mei 2007.

Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian G Nethyananthan, 29, di Taman Sungai Kapar Indah, Klang dekat sini, antara jam 8.30 malam, 26 April 2007 dan 1 petang, 27 April tahun sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, Nethyananthan dan teman wanitanya pergi ke Klang pada 26 April 2007 untuk menguruskan beberapa perkara berhubung perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, apabila tiba di satu lokasi, empat daripada lima lelaki terbabit menemui mangsa dan teman wanitanya lalu membawa pasangan itu ke sebuah rumah di kawasan Sungai Kapar Indah.

Di sana, Nethyananthan diikat dan dipukul menggunakan tangan, kaki, tali pinggang dan kayu menyebabkan mukanya bengkak serta hidungnya berdarah.

Keesokannya, mangsa yang tenat dibawa ke dalam hutan dan diletakkan di atas papan lapis.

Menyedari mangsa sudah meninggal dunia, tertuduh menutupi mayat mangsa menggunakan pelepah kelapa sawit sebelum menanam mayat lelaki itu di satu kawasan berhampiran tapak projek perindustrian di Taman Sungai Kapar Indah.

Sementara itu, teman wanita mangsa dihantar ke stesen bas Klang dan diberi amaran supaya tidak membuat laporan polis.

Kesemua lelaki terbabit sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka, bagaimanapun, menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yong Leou Shin sementara kelima-lima lelaki terbabit diwakili barisan peguam bela Gurbachan Singh Johal, V Jayamurugan, Rajan Ayappan dan Amritpal Singh. - BERNAMA

23 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment