May 23, 2011

Kanak-kanak dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui lemas di dalam sungai di Kampung Lalang, Padang Rengas di Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Polis daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad, berkata mayat Mohd Haikal Wazir, 6, ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.28 pagi tadi kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan hilang.

Beliau berkata, Mohd Haikal dilaporkan hilang pada jam 6.30 petang semalam oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai runcit milik datuknya yang berhampiran.

"Sungai itu terletak dekat dengan rumahnya dan Mohd Haikal dipercayai pergi ke sungai itu seorang diri dan tergelincir sebelum hilang dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, polis dengan kerjasama pasukan Bomba dan Penyelamat, RELA serta penduduk kampung kemudiannya melancarkan operasi mencari sehingga jam 12 tengah malam.

Superintendan Abdul Ghaffar, berkata operasi mencari disambung semula pada jam 8 pagi ini dan mayat Mohd Haikal ditemui kira-kira dua setengah jam kemudiannya.

Mayat Mohd Haikal dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat. - BERNAMA

23 Mei 2011


Lemas tersadai di tebing

PADANG RENGAS – Seorang datuk tidak menyangka firasat yang menyatakan cucunya selamat sampai ke rumah salah, apabila ditemui lemas di tebing Sungai Papan, Padang Asam, di sini kira-kira 10.30 pagi semalam.

Mohd Haikal Wazir, 6, ditemui dalam keadaan tersadai di tebing sungai berkenaan, dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus sungai ketika bermain berhampiran kawasan itu, sehari sebelum ditemui mati.

Datuknya, Zubir Abd Rahman, 68, berkata, dia hanya menyedari kehilangan cucunya itu kira-kira 6 petang, sebaik selesai menguruskan perniagaan kedai runcitnya.

Menurutnya, apabila tidak melihat kelibat Mohd Haikal, dia menyangka cucunya itu pulang ke rumah bersendirian.

“Isteri saya menyatakan dia (Mohd Haikal) tiada di rumah, saya langsung tidak mengesyaki yang dia kemungkinan jatuh di sungai itu.

“Dia memang selalu mengikut saya berniaga, jarak sungai dengan kedai tidak jauh, hanya satu meter sahaja dan kebiasaannya memang dia selalu pulang sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kangsar, semalam.

Difahamkan, Mohd Haikal sering bermain bersama rakannya di sekitar kawasan berkenaan.

Usaha mencari digerakkan selepas Maghrib sebaik Zubir memaklumkan akan kehilangan cucunya itu kepada orang kampung.

Zubir tidak menolak kemungkinan, cucunya yang dijaga sejak lahir itu terjatuh ketika bermain di kawasan sungai berikutan air pasang dan cuaca hujan.

Katanya, Mohd Haikal yang mendapat pendidikan di Tadika Pasti Kampung Pondok itu dikenali sebagai kanak-kanak yang pendiam dan tidak suka bergaul dengan orang ramai.

“Ibu dan bapanya sudah bercerai, jadi sayalah yang menjaganya, kali terakhir dia menemui ibunya kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula 7 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi turut dijalankan bersama penduduk, anggota Rela, Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa lagi agensi lain.

“Usaha mencari digerakkan sehingga jam 1 pagi namun gagal sebelum disambung semula pada jam 8 pagi semalam, mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Sinar Harian
24 Mei 2011


‘Main sendirian atas titi sungai’

USUNG...pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa, semalam. Gambar kecil, Zubir.

KUALA KANGSAR: “Arwah memang pendiam malah sering bermain bersendirian di atas titi anak sungai itu. Namun dia tiba-tiba ghaib petang semalam (kelmarin) dan tidak pulang ke rumah,” kata Zubir Abdul Rahman, 68, datuk kepada Mohamad Haikal Wazir, 6, yang ditemui lemas dalam sungai di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, kanak-kanak malang itu ditemui lemas di Sungai Papan, Kampung Padang Asam, Padang Rengas, dekat sini, oleh sepasukan bomba dan penyelamat kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Sehari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan hilang oleh datuknya kira-kira jam 7.15 malam kelmarin selepas kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum satu gerakan mencari dilakukan.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat dilakukan beberapa agensi termasuk sepasukan bomba dan penyelamat Kuala Kangsar, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) cawangan Padang Rengas dan bantuan beberapa penduduk kampung gagal menemui kelibat mangsa malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa bermain bersendirian di sebuah titi berhampiran kedai runcit datuknya yang terletak kira-kira 10 meter dari anak sungai itu.

Mangsa dikatakan tergelincir ke dalam anak sungai deras itu yang paras airnya meningkat secara mendadak disebabkan hujan di hulu sungai berhampiran Gunung Pondok, Padang Rengas.

Zubir yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kangsar semalam berkata, arwah tinggal bersamanya sejak kecil selepas kedua ibu dan bapanya bercerai.

Dia berkata, arwah sering mengikutnya ke kedai dan sering bermain bersendirian di sekitar kedai termasuk di tepi anak sungai itu.

“Ketika kejadian, saya sedang berurusan dengan pelanggan di kedai sementara arwah pula dilihat bermain di hadapan kedai. Kira-kira jam 7 malam saya pulang ke rumah seperti biasa namun, terkejut selepas dimaklumkan isteri, cucu saya tiada di rumah.

“Saya bergegas mencarinya di sekitar kedai namun gagal menemui kelibatnya sebelum meminta bantuan daripada penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad ketika ditemui semalam berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat datuknya kira-kira jam 7.15 malam kelmarin sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, datuk mangsa mendakwa cucunya keluar bermain di sekitar kedai runcit tempatnya berniaga sebelum disahkan hilang.

“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat dilakukan beberapa agensi termasuk pasukan bomba dan penyelamat serta anggota Rela malam tadi (kelmarin) gagal menemui sebarang jejak mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 12 malam membabitkan skop pencarian di sekitar anak sungai berkenaan sehinggalah mangsa ditemui pagi tadi (semalam),” katanya.

myMetro
24 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment