May 7, 2011

Pelajar Tahun Lima Mati Lemas Selepas Mandi Di Sungai Belat

KUANTAN: Seorang pelajar tahun lima ditemui mati lemas selepas mandi di Sungai Belat di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd Nor Aiman Hassan, 11, pelajar Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di sini pergi ke sungai berkenaan bersama seorang rakannya.

Kedua-dua mangsa kemudian dipercayai mandi berhampiran tebing sungai itu sebelum lemas.

Seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, berkata dia yang kebetulan pergi ke sungai itu untuk melihat orang memancing kira-kira 2.30 petang tadi ternampak tangan kedua-dua mangsa sedang terkapai-kapai.

"Saya kemudian terjun ke dalam sungai dan sempat membawa seorang (mangsa) ke tebing," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu. Katanya dia ingin terjun semula ke sungai untuk menyelamatkan seorang lagi mangsa, namun Mohd Nor Aiman telah hilang dari pandangannya.

Seorang lagi saksi, Mimah Isnin, 45, berkata ketika kejadian, dia sedang membawa makanan untuk suaminya yang memancing ikan tidak jauh dari tempat kedua-dua mangsa mandi.

"Saya terdengar suara seolah-olah orang memanggil nama saya dan apabila saya menghampiri dua budak yang berada di tebing sungai, baru saya mengetahui sebenarnya seorang daripada mereka menjerit nama rakannya yang lemas di dalam sungai," katanya.

Katanya dia kemudian menghubungi talian kecemasan memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Mohd Lazim Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.44 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.

"Pihak kami kemudian melakukan selaman dan menemui mangsa di tempat dia dilaporkan hilang pada jam 3.35 petang," katanya.

Mayat Mohd Nor Aiman, dari taman perumahan Gudang Rasau di sini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

7 Mei 2011


Murid tahun lima lemas

ANGGOTA penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dibantu orang ramai mengusung jenazah Mohd. Nor Aiman Hasan yang ditemui lemas di Sungai Belat, Kuantan, Pahang, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 7 Mei - Keriangan seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini yang mandi-manda bersama rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas di Sungai Belat, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Aiman Hasan, 11, mandi bersama seorang rakannya yang berusia lapan tahun.

Menurut seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, dia sedang berjalan ke sungai berkenaan untuk melihat orang memancing tetapi terkejut apabila melihat dua kanak-kanak sedang terkapai-kapai.

"Tanpa berlengah, saya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka berdua.

"Bagaimanapun, selepas menarik seorang mangsa, saya cuba terjun untuk menyelamatkan seorang lagi tetapi dengan sekelip mata dia hilang daripada pandangan," katanya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini.

Berikutan itu, katanya, dia segera memaklumkan kepada beberapa pemancing yang berada di situ sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd. Lazim Jaafar, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 2.44 petang.

"Dengan kekuatan enam anggota bomba dan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), mayat mangsa ditemui pada pukul 3.35 petang.

"Mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan dengan kedalaman dua meter," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Utusan
8 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment