May 18, 2011

Ketua geng mafia terengganu dicekup

KEMAMAN – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Dua lelaki termasuk seorang daripadanya dipercayai ketua geng samun lori tangki minyak ala mafia di Kerteh Ahad lalu, berjaya dicekup dalam serbuan dekat sebuah gelanggang futsal di Paka, awal pagi semalam.

Ketua geng samun berusia 37 tahun itu diberkas bersama orang kanannya berusia 28 tahun di Taman industri Paka, Jalan Kuantan – Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Sinar Harian difahamkan, ketua kumpulan itu sebelum ini turut dikehendaki polis dan sebelum ini waran tangkap pernah dikeluarkan ke atasnya kerana gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah, manakala orang kanannya itu tiada rekod jenayah dan disyaki baru berjinak-jinak dalam jenayah.

Kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Paka yang sejak Ahad lalu membuat intipan dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika ditemui berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Ketengah Jaya, Dungun selepas ditangkap dibawa ke balai Polis Paka sebelum dihantar ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian awal pagi tiga hari lalu, sekumpulan 10 lelaki Melayu yang menaiki dua buah kereta jenis Proton Wira bertindak merampas dan melarikan sebuah lori tangki yang sarat membawa muatan minyak bercampur air di Kilometer 106, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kerteh, kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan itu gagal selepas anggota (CPJ) dari Balai Polis Paka diketuai Koperal Zaimi Jaafar, berjaya mengesan lori itu selepas mendapat maklumat yang disalurkan ke kesemua balai polis sebaik pemandu treler itu membuat laporan di Balai Polis Kertih.

Kira-kira jam 3 pagi hari sama, iaitu dua jam selepas kejadian samun itu, lori tersebut yang disorok di sebuah kawasan semak di tepi jalan berhampiran Loji Memproses Gas GPP5&6, di Santong Paka berjaya dikesan sebelum polis menyerbu kawasan itu.

Dengan serbuan itu, polis berjaya menahan dua ahli kumpulan itu berusia 33 dan 31 tahun yang berasal dari Setiu dan Rantau Panjang, Kelantan manakala yang lain sempat meloloskan diri ke dalam semak berhampiran. Selain itu polis turut merampas dua kereta Proton Wira serta memperoleh semual lori tangki yang dilarikan.

Sinar Harian
18 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment